MAKLUMAT TERKINI

Timbalan Menteri KATS lancar seminar ubatan FRIM
By Published On: Oktober 18, 2018

16 Oktober 2018 (Selasa) – Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) telah merasmikan Seminar Tumbuhan Ubatan dan Beraroma ke-15 (MAPS15) anjuran Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di kampus utama, Kepong, pagi tadi.

1
1
Tengku Zulpuri Shah (left) dan Abd Latif menyampaikan ucapan masing-masing. Dari kiri: Nor Azah, Azizah, Tengku Zulpuri Shah, Abd Latif dan Norhayati Nordin iaitu Pengarah Inovasi dan Komersialisasi FRIM semasa pelancaran produk baharu.

Seminar bertemakan, ‘Merungkai Khazanah dan Rahsia Alam Semula Jadi: Spesies Pilihan Semasa’ ini diadakan untuk berkongsi dan mendedahkan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) terkini mengenai spesies tumbuhan ubatan yang berpotensi untuk penghasilan produk-produk kosmetik dan farmaseutikal. Program dua hari ini turut menghimpunkan lebih 170 peserta yang terdiri daripada usahawan herba, penyelidik, ahli akademik, wakil-wakil agensi dan penggubal polisi.

1
1
Para peserta yang menghadiri majlis perasmian. Dari kanan: Tengku Zulpuri Shah dan Abd Latif semasa lawatan ke gerai pameran makmal genetik.

Dalam ucapan Menteri KATS yang dibacakan oleh Tengku Zulpuri Shah, beliau menyeru agar pihak industri herba dapat menghasilkan produk-produk yang menepati piawaian supaya lebih berdaya saing bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat global.

Beliau menyarankan agar sumbangan FRIM kepada industri berasaskan hasilan semula jadi melalui perkhidmatan yang ditawarkan, pengeluaran prototaip-prototaip produk melalui R&D, mahupun perkongsian ilmu dan pengetahuan melalui buku-buku ilmiah dan jurnal saintifik terus dipertingkatkan.

Tengku Zulpuri Shah turut melancarkan buku terbitan FRIM bertajuk, ‘Medicinal Forest Species in FRIM’ yang mendokumentasikan spesies-spesies hutan dalam kampus yang mempunyai nilai perubatan. Pendokumentasian tersebut penting dalam menyokong usaha FRIM ke arah pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Beliau juga melancarkan produk kosmetik ‘Tranquil Skincare Regimen’ yang dihasilkan daripada ekstrak karas oleh FRIM. Produk ini akan dikomersialkan oleh Syarikat FRIM Incorporated (FRIM Inc.).

FRIM Inc. yang ditubuhkan pada 4 Ogos 2017 merupakan anak syarikat FRIM yang mengkomersialkan hasil R&D termasuk perkhidmatan teknikal FRIM untuk penjanaan pendapatan.

Turut hadir, Azizah Ariffin, Timbalan Ketua Setiausaha (Air dan Pembentungan), KATS; Dato’ Dr Abd Latif Mohmod, Ketua Pengarah FRIM; Dr Khali Aziz Hamzah, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FRIM dan Dr Nor Azah Mohamad Ali, Pengarah Hasilan Semula Jadi FRIM. Terdapat 23 pembentangan oral dan 53 pembentangan poster sepanjang seminar ini. FRIM bersama 10 syarikat juga mempamerkan hasil penyelidikan, produk dan perkhidmatan yang berkaitan. FRIM turut menganjurkan tiga bengkel pada 18 dan 19 Oktober untuk memberi pendedahan serta meningkatkan pengetahuan para peserta tentang teknologi terkini dalam kawalan kualiti herba, identifikasi bakteria dan proteomik.

Maklumat Terkini