MAKLUMAT TERKINI

Elizabeth Wong sertai Gotong-royong FRIM Bersama Sahabat Komuniti
By Published On: Julai 5, 2018

5 Julai 2018 (Khamis) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong Keat Ping telah menyertai ‘Majlis Gotong-royong Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) bersama Sahabat Komuniti’ yang diadakan di Taman Warisan FRIM, pagi tadi.

Program tersebut melibatkan lebih 100 staf FRIM dan wakil-wakil Sahabat Komuniti yang merangkumi penduduk sekitar kampus FRIM. Ia bertujuan memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemuliharaan warisan semula jadi serta memperkasakan sokongan komuniti setempat dalam usaha pengiktirafan FRIM sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Wong juga menanam pokok kundang (Bouea oppositifolia) sebagai acara simbolik bagi memperingati program ini. Spesies ini biasanya ditanam di kawasan-kawasan kampung sebagai pokok hiasan dan buahnya juga boleh dimakan. Nama tempatan pokok ini juga sinonim dengan salah satu tempat di Selangor iaitu Kundang.

Abd Latif (kiri) dan Wong menyampaikan ucapan masing-masing.

Aksi Wong (paling kiri) menyiram pokok yang ditanamnya.

Ketua Pengarah (KP) FRIM, Dato’ Dr Abd Latif Mohmod berkata taman ini dibangunkan sebagai kawasan rekreasi alternatif yang dapat memberi faedah kepada masyarakat setempat serta pelawat FRIM.

Sementara ini, taman ini hanya dibuka secara khas untuk majlis-majlis korporat atau acara persendirian seperti sambutan hari keluarga, perkahwinan dan sebagainya. Berdasarkan perancangan FRIM, taman ini akan dibuka kepada orang ramai pada tahun 2019. Kemudahan yang terdapat dalam taman ini termasuk gazebo, pavilion, amphitheatredan parcourse.

Turut hadir, Pengerusi Sahabat Komuniti Tapak Warisan Kebangsaan FRIM (JSK-FRIM), Mohd Azzirin Datuk Abu Dolah; Timbalan KP (Penyelidikan), Dr Ismail Harun; Timbalan KP (Operasi), Dr Khali Aziz Hamzah; serta pegawai-pegawai pengurusan tertinggi FRIM yang lain.

Semua peserta bergambar bersama Wong selepas majlis perasmian.

Staf FRIM dan wakil komuniti menanam pokok di Taman Warisan.

Maklumat Terkini