Menyokong agenda bioekonomi negara melalui pemerkasaan industri berasaskan produk semula jadi dengan memastikan keselamatan bekalan bahan mentah bioaktif.
- Sumber Biologi
- Bioprospek
- Kawalan Kualiti Herba
Makmal Kawalan Kualiti Hasilan Semula Jadi (NPQC) merupakan sebuah makmal di bawah Program Kawalan Kualiti Herba Bahagian Hasilan Semula Jadi, FRIM. Makmal NPQC telah memperolehi pensijilan daripada Jabatan Standard Malaysia di bawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM) yang memenuhi keperluan MS ISO/IEC 17025:2017 ‘Keperluan am kecekapan untuk makmal ujian dan penentukuran’ untuk ujian mikrobiologi, kimia dan fizikal. Piawaian Malaysia ini adalah setara dengan ISO/IEC 17025:2005 yang diterbitkan oleh International Organization for Standardization (ISO).
Makmal NPQC menyediakan perkhidmatan ujian kawalan kualiti bagi; a) pencemaran mikroorganisma, b) analisis logam berat, c) keseragaman berat dan d) ujian penghancuran untuk produk herba. Ujian pencemaran mikrob termasuk a) pengiraan jumlah mikrob aerobik (TAMC) dan jumlah gabungan yis/acuan kiraan (TYMC), b) mikroorganisma khusus Escherichia coli, Salmonella spp., Staphylococcus aureus, Pseudomonas aeruginosa, Bile tolerant gram negative bacteria and Candida albicans. Unsur-unsur seperti Kadmium (Cd), Plumbum (Pb), Merkuri (Hg) dan Arsenik (As) dianalisis dalam ujian logam berat. Kedua-dua ujian keseragaman berat dan ujian penghancuran menyasarkan produk dalam bentuk tablet dan kapsul. Ujian ini dijalankan mengikut garis panduan yang ditetapkan dalam Dokumen Garis Panduan Pendaftaran Dadah dan Akta Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Makmal NPQC juga telah menerima pengiktirafan dan kelulusan sebagai sebuah makmal pengujian untuk produk tradisional daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan. Oleh itu, laporan ujian kawalan kualiti yang dikeluarkan oleh NPQC, FRIM diiktiraf dan diterima oleh NPRA. Selain itu, makmal NPQC merupakan salah satu makmal di Bahagian Hasilan Semula Jadi yang telah dianugerahkan status Rakan Kongsi BioNexus (BNP) oleh Malaysian Bioeconomy Development Corporation Sdn. Bhd.
Makmal Biologi (MBIO) di bawah Program Bioprospek, Bahagian Hasilan Semula Jadi menawarkan perkhidmatan ujian bioaktiviti kepada industri herba dengan bioasai yang telah ditetapkan untuk menilai aktiviti antioksidan (Xanthine/Xanthine Oxidase Superoxide Scavenging, DPPH Radical Scavenging, Tyrosinase Inhibition, Hydrophilic Oxygen Radical Absorbance Capacity (H-ORAC), Lipophilic Oxygen Radical Absorbance Capacity (L-ORAC), Elastase Inhibition & Total Phenolic Content), antiradang (Hyaluronidase Inhibition, Lipoxygenase Inhibition, Xanthine Oxidase Inhibition & Protein Denaturation Inhibition), antidiabetis (a-Amylase & a-Glucosidase Inhibition), dan toksisiti in vitro (sitotoksisiti) pada titisan sel Vero (ginjal), WRL-68 (hati) & BALB/3T3 clone A31 (fibroblas).
Makmal Fitokimia (FK) di bawah Program Kawalan Kualiti Herba, Bahagian Hasilan Semula Jadi, memberi fokus kepada aktiviti penyelidikan dan perkhidmatan teknikal yang berkaitan dengan analisis kimia. Perkhidmatan teknikal yang ditawarkan termasuk ujian kualiti, ujian penyaringan fitokimia, analisis kandungan flavonoid, gula, polisakarida dan saponin menggunakan spektroskopi UV-Vis, analisis spektroskopi FTIR, analisis spektroskopi NMR 1D dan 2D, analisis HPLC dan LC-MS untuk pemprofilan secara kualitatif dan kuantitatif, penentuan kandungan eurycomanone dalam sampel dan produk tongkat ali menggunakan UPLC, dan analisis HPTLC untuk pemprofilan dan kualitatif. Makmal telah diakreditasi oleh Jabatan Standard Malaysia di bawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM), yang memenuhi keperluan MS ISO/IEC 17025:2017 untuk “Pengenalpastian akar tongkat ali dengan analisis HPLC”. Analisis ini ditawarkan kepada industri herba atau pihak yang berminat untuk memastikan bahan mentah yang digunakan dalam produk mereka adalah tulen dan tidak dicemari.