MAKLUMAT TERKINI
FRIM alu-alukan inisiatif penghutanan semula swasta
31 Januari 2019 (Khamis) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) mengalu-alukan penglibatan sektor swasta dalam usaha pemulihan hutan dan pemuliharaan biodiversiti di negara ini.
Dari kiri: Caroline, Chua dan Mohamad Helmy melancarkan buku ‘Plant-A-Tree’. | Pegawai Penyelidik Biodiversiti Hutan FRIM, Ajla Rafidah Baharom (paling kanan) menenunjukkan bahan pameran kepada pelawat. |
“FRIM bersedia untuk bekerjasama dengan sektor swasta dalam penanaman semula hutan serta projek-projek pengayaan biodiversiti dalam usaha mencegah kepupusan spesies flora yang berharga,” kata Ketua Pengarah FRIM, Dato’ Dr Abd Latif Mohmod dalam ucapannya yang dibacakan oleh Pengarah Biodiversiti Hutan FRIM, Dr Lillian Chua pada Majlis Penutup Projek ‘Plant-A-Tree’ di Estet Jentar, Pahang semalam.
Dalam projek tersebut, Sime Darby Plantation (SDP) bekerjasama dengan FRIM untuk mengenal pasti dan menanam spesies tumbuhan hutan yang terancam dan jarang ditemui bagi tujuan pemuliharaan.
FRIM telah menyumbang sejumlah 188 anak benih dari 20 spesies kaum Dipterokarpa (Dipterocarpaceae) untuk penanaman di tapak Bukit Pasir termasuk enam spesies pokok Sangat Terancam (Critically Endangered, CR), empat Terancam (Endangered, EN), lima Mudah Terancam (Vulnerable, VU) dan satu spesies Jarang Ditemui (Rare, RA).
FRIM dan SDP telah menjalankan kajian flora di Bukit Kiab manakala ahli zoologi FRIM juga menjalankan beberapa kajiian pemantauan fauna di Bukit Angin, Bukit Kiab dan Bukit Pasir.
“FRIM gembira dapat bekerjasama dengan SDP dalam pemuliharaan ex situ spesies pokok hutan yang terancam dan jarang ditemui di Jentar Estate. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada SDP atas usaha penubuhan, pengurusan, pemantauan dan penggunaan bukan komersial spesies tumbuhan hutan terancam dan jarang ditemui secara ex situ,” kata Abd Latif.
Antara usaha-usaha pemuliharaan biodiveriti FRIM termasuk:
- Menerajui usaha pemuliharaan tumbuhan negara serta memainkan peranan penting dalam pemuliharaan kelip-kelip dan pemulihan habitatnya di Kampung Kuantan, Selangor;
- Merupakan pusat rujukan untuk dokumentasi biodiversiti Malaysia. Herbarium Kepong di FRIM menempatkan kira-kira 300,000 spesimen dengan lebih 770 spesimen tip serta berfungsi sebagai pusat rujukan negara;
- Mengetuai beberapa projek floristik kebangsaan termasuk Tree Flora of Malaya (TFM), Tree Flora of Sabah dan Sarawak (TFSS) dan Flora of Peninsular Malaysia (FPM) untuk mendokumentasikan kekayaan biodiversiti flora negara;
- Menjalankan penilaian status pemuliharaan (conservation status) terhadap spesies tumbuhan. Penilaian terhadap kaum Dipterokarpa (Dipterocarpaceae) pada 2010 menunjukkan bahawa 92 spesies di Semenanjung Malaysia berada dalam golongan kategori terancam;
- Menjalankan usaha-usaha konservasi in situ dan ex situ dengan beberapa pihak yang berkepentingan dalam memulihara dan mencegah kepupusan spesies, seperti kerjasama FRIM kerjasama dengan Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) bagi memelihara Shorea hemsleyana (meranti daun besar) yang Sangat Terancam di kawasan hutan UTP dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Seri Iskandar, Perak; dan
- Menyumbang kepada penubuhan Hutan Bernilai Konservasi Tinggi (High Conservation Value Forest, HCVF) bagi melindungi spesies terancam yang terpilih, contohnya, HCVF di Hutan Simpan (HS) Kledang Saiong untuk perlindungan Vatica abdulrahmaniana, yang dikendalikan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak dan HCVF di HS Kanching untuk melindungi merawan kanching (Hopea subalata) yang Amat Terancam serta hiper endemik.
Chua (kedua dari kiri) menerangkan kepentingan pemuliharaan biodiversiti kepada para hadirin semasa lawatan tapak penanaman. | Gambar berkumpulan wakil-wakil FRIM dan Sime Darby di tapak penanaman Bukit Angin. |
Turut hadir pada majlis, Timbalan kepada Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Operasi, Huluan SDP, Mohamad Helmy Othman Basha; Ahli Majlis Pentadbiran Yayasan Sime Darby, Caroline Christine Russell; Pengerusi New Britain Palm Oil Limited, Dato’ Henry Sackville Barlow dan Timbalan Pengarah Jabatan Perhutanan Pahang, Dato’ Samsu Anuar Nawi.
Maklumat Terkini