MAKLUMAT TERKINI
FRIM anjur bengkel pemurnian modul berkaitan biodiversiti
31 Mac 2021 (Rabu) – FRIM telah mengadakan Bengkel Pemurnian Modul Latihan Guru Berkaitan Biodiversiti untuk Projek ‘Mainstreaming Biodiversity Conservation into Public Education System through Training of Teachers’ semalam di Bilik Mesyuarat Licuala dan secara dalam talian.
FRIM telah dilantik sebagai pelaksana bagi projek rintis ini yang merupakan inisiatif Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dan dibiayai oleh ASEAN Centre for Biodiversity (ACB).
Noor Azlin berucap pada bengkel tersebut. | Gambar berkumpulan pihak penganjur, peserta bersama Noor Azlin (duduk, tengah). |
Bengkel ini dipengerusikan oleh Dr Noor Azlin Yahya, Timbalan Ketua Pengarah Operasi FRIM merangkap Ketua Projek dan melibatkan 27 peserta.
Tujuan bengkel ini adalah untuk memurnikan “Modul untuk Bengkel Guru bagi Penerapan Pembelajaran mengenai Pemuliharaan Biodiversiti dalam Sistem Pendidikan Malaysia”. Modul tersebut telah dibangunkan terdahulu oleh Ahli Jawatankuasa Kerja Teknikal merangkap kumpulan penyedia modul melalui sesi-sesi perbincangan sebelum ini.
Program semalam sekali lagi mengumpulkan kumpulan yang terdiri daripada wakil-wakil KeTSA, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Alumni Yayasan Teach for Malaysia (TFM), RESTORE Malaysia, Yayasan Hijau Malaysia (YHM) dan Persatuan Pencinta Alam (MNS) bagi memurnikan pengisian modul tersebut.
Dari kanan: Kamaruzaman, Norsham Suhaina dan Naimah Che Long, Pegawai Penyeldik EE semasa sesi perbincangan. | Bengkel diadakan di Bilik Mesyuarat Licuala. |
Perbincangan kumpulan serta pembentangan kriteria pemilihan guru oleh Kamaruzaman Abdul Rahman, Ketua Penolong Pengarah Unit Pematuhan Standard Program Latihan KPM merupakan pengisian utama bengkel ini.
Turut hadir Nik Azyyati Abdul Kadir, Ketua Cawangan Pendidikan Alam Sekitar FRIM (EE) dan Norsham Suhaina Yaakob, Ketua Cawangan Ekopelancongan.
Maklumat Terkini