MAKLUMAT TERKINI

FRIM anjur kursus pengecaman asas briofit
By Published On: Oktober 9, 2020

9 Oktober 2020 (Jumaat) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah menganjurkan ‘Kursus Pengecaman Asas Briofit’ pada 15 September lalu untuk meningkatkan pengetahuan serta mendedahkan teknik pengecaman briofit (bryophyte) kepada 18 staf Herbarium FRIM.

Briofit iaitu lumut merupakan tumbuhan bukan vaskular, epifit, tidak berbunga dan menghasilkan spora yang biasanya disebarkan oleh angin. Ia sering digunakan sebagai petunjuk biologi (bio indicator) kerana ia sensitif terhadap perubahan keadaan persekitaran, khususnya suhu dan kelembapan serta sering dijumpai di kawasan yang tidak tercemar.

Cheah (depan) menunjukkan populasi lumut yang tumbuh pada batang pokok.
Zainun Othman, Pembantu Penyelidik meneliti ciri-ciri sampel lumut dengan kanta pembesar
Cheah (depan) menunjukkan populasi lumut yang tumbuh pada batang pokok. Zainun Othman, Pembantu Penyelidik meneliti ciri-ciri sampel lumut dengan kanta pembesar.

Kursus ini dikendalikan oleh Cheah Yih Horng, ahli botani FRIM yang mempunyai pengetahuan dan latar belakang akademik dalam bidang ekologi serta taksonomi briofit.

Terdapat sekurang-kurangnya 40 spesies briofit yang telah dijumpai dalam kampus FRIM, walaupun ia merupakan hutan buatan manusia. Kepelbagaian yang amat tinggi ini disebabkan oleh kepelbagaian mikro habitat yang ada di FRIM.

Walau bagaimanapun, kajian yang lebih mendalam dan menyeluruh diperlukan untuk mengetahui lebih lanjut komposisi briofit di FRIM.

Lumut Fissidens (atas) dan Riccardia yang dijumpai atas permukaan/celah batu serta atas tanah.
Batu di kawasan air terjun FRIM yang dilitupi dengan lumut.
Lumut Fissidens (atas) dan Riccardia yang dijumpai atas permukaan/celah batu serta atas tanah. Batu di kawasan air terjun FRIM yang dilitupi dengan lumut.

Antara kumpulan briofit yang ditemui di mikro habitat FRIM termasuk:

  • Atas permukaan/celah batu serta atas tanah: Kumpulan Fissidens, Riccardia;
  • Permukaan batang pokok: Famili Calymperaceae, Sematophyllaceae dan Lejeuneaceae;
  • Atas daun pokok (kawasan sungai/air terjun): Kumpulan Cololejeunea; serta
  • Menjalar atas batang pokok tumpang di dalam hutan: Famili Thuidiaceae.

Baru-baru ini, Cheah telah menjalankan inventori briofit di Batu Caves bersama-sama seorang penyelidik Universiti Malaya dan mereka telah membuat pembentangan oral serta poster di Simposium Ekspedisi Saintifik Batu Caves pada 26 September lalu.

Maklumat Terkini