MAKLUMAT TERKINI
FRIM anjur program khas bicara KP
30 Julai 2020 (Khamis) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah menganjurkan Program Khas Bicara Ketua Pengarah (KP) FRIM, Datuk Dr Abd Latif Mohmod, bertajuk ‘Latif: His Life, His Story’ di Auditorium FRIM pada 27 Julai lalu.
Program ini bertujuan memberi peluang kepada warga FRIM mendengar kisah hidup serta pandangan Abd Latif tentang isu-isu semasa serta cabaran masa hadapan FRIM termasuk tindakan dan langkah-langkah yang perlu diambil bagi mempertahan dan memastikan kesinambungan serta kecemerlangan FRIM.
Abd Latif (kiri) menceritakan kisah hidup beliau sambil diperhatikan oleh Mohammad Shahfiz. | Para peserta yang mengikuti program yang disiar secara langsung di Bilik Licuala (atas) dan foyer ‘FRIM Wall of Fame’. |
Ia juga memberi ruang kepada kakitangan FRIM untuk mengemukakan sebarang pertanyaan serta komen kepada KP FRIM.
Program yang dipengerusikan oleh Mohammad Shahfiz Azman, Ketua Cawangan Zoologi, turut dihadiri hampir 300 peserta termasuk Dato’ Dr Marzalina Mansor, Timbalan KP (Penyelidikan), pengarah-pengarah bahagian serta penjawat awam FRIM.
Abd Latif berkongsi cerita tentang latar belakang keluarga beliau, pengalamannya sewaktu kecil, peristiwa-peristiwa serta individu-individu seperti Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor, Prof. Walter Liese dan Tan Sri Samsudin Osman yang mempengaruhi pemikiran dan cara beliau menangani cabaran.
Beliau menyeru warga FRIM supaya jangan leka; sentiasa mematuhi prosedur dan menjalankan segala tanggungjawab dengan telus, tekun serta bersungguh-sungguh untuk mengekalkan kecemerlangan serta berani bersuara dalam mempertahankan peranan FRIM agar kekal relevan selamanya.
Abd Latif mengingatkan warga FRIM bahawa segala tindakan beliau walaupun kelihatan tegas dan mungkin menimbulkan ketidakpuasan, segalanya dibuat kerana beliau sayangkan FRIM.
Gambar Abd Latif (tengah, depan) bersama peserta-peserta di Auditorium. | Abd Latif melambai kepada staf FRIM pada hujung program. |
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah memberi sokongan sepanjang beliau menerajui FRIM.
“Masa untuk berundur semakin dekat – kini, menghitung hari. Jadikan semuanya sebagai cabaran dan garis panduan. Yang benar lagi hak itu adalah milikNya jua yang perlu dipatuhi selama hayat, khususnya ketika kita masih dalam perkhidmatan,” kata beliau.
Maklumat Terkini