MAKLUMAT TERKINI
FRIM anjur seminar Rafflesia
14 November 2018 (Rabu) –Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah menganjurkan Seminar Rafflesia di Malaysia 2018 yang bertemakan ‘Status Penyelidikan Rafflesia: Satu Perspektif’ di Auditorium FRIM semalam.
Seminar yang julung-julung kali dianjurkan ini bertujuan berkongsi maklumat penyelidikan dan pembangunan (R&D), penemuan saintifik, teknologi serta pemuliharaan mengenai Rafflesia di Malaysia.
Abd Latif (kiri) dan Samsudin menyampaikan ucapan masing-masing. | Dari kiri: Zulhisham, Sharifah Shahrul Rabiah, Abd Latif, Erawan dan Samsudin. |
Seminar anjuran bersama FRIM, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) ini dirasmikan oleh Dato’ Dr Abd Latif Mohmod, Ketua Pegarah (KP) FRIM.
“FRIM ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Perak serta agensi-agensi yang terlibat terutamanya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia(PERHILITAN), Pejabat Daerah Hulu Perak, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) serta khususnya FELDA dan FGV,” kata beliau.
Pusat Pemuliharaan dan Interpretif Rafflesia (PPIR) di kawasan FELDA Bersia Timur yang ditubuhkan bersama oleh FRIM, FGV dan FELDA dijangka disiapkan pada 2020. Ia merupakan pusat pertama di Semenanjung Malaysia yang dibangunkan untuk penyelidikan, pendidikan alam sekitar dan konservasi (in-situ dan ex-situ) Rafflesia serta berperanan memacu ekonomi setempat.
Projek ini memberi fokus kepada usaha pemerkasaan industri pelancongan dengan penglibatan masyarakat Orang Asli serta mempromosikan Gerik sebagai tarikan ekopelancongan.
Turut hadir di majlis, Dr Sharifah Shahrul Rabiah Syed Alwee, Ketua Kluster R&D dan Perkhidmatan Agri, FGV; Erawan Aman, Pengarah Jabatan Pengurusan Tanah, FELDA; Zulhisham Ahmad Shukori, Pegawai Daerah Hulu Perak; dan Dr Samsudin Musa, Pengarah Perhutanan dan Alam Sekitar FRIM.
Para peserta menyaksikan video Rafflesia di auditorium. | Abdul Latiff (kiri) dan Noorsiha membentangkan topik masing-masing. |
Seminar ini dihadiri lebih 100 peserta yang terdiri daripada penyelidik, ahli akademik, wakil-wakil agensi, penggubal polisi serta individu yang terlibat secara langsung dalam kajian dan pemuliharaan Rafflesia.
Terdapat 12 pembentangan dan sembilan poster yang dipamerkan. Antara topik pembentangan menarik termasuk, ‘Research on Rafflesia (Raffleciaceae) in Malaysia: Issues and Challenges’ oleh Prof. Emeritus Dato’ Dr Abdul Latiff Mohamad, Universiti Kebangsaan Malaysia; dan ‘Penjenamaan Daerah Hulu Perak Menerusi Pembangunan Komponen Ekopelancongan Pusat Pemuliharaan dan Interpretif Rafflesia’oleh Noorsiha Ayop, Ketua Penyelaras Projek PPIR FRIM.
Maklumat Terkini