MAKLUMAT TERKINI

FRIM catat rekod MBR baharu bagi projek TK Melayu
By Published On: April 20, 2021

20 April 2021 (Selasa) – Malaysia Book of Records (MBR) telah menyampaikan satu lagi sijil rekod baharu untuk Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) kepada Dr Khali Aziz Hamzah, Ketua Pengarah (KP) FRIM semalam bagi jumlah pengamal perubatan tradisional Melayu yang paling ramai ditemu bual tentang pengetahuan tradisi berkaitan tumbuhan ubatan.

Rekod bagi “Most number of Malay Traditional Practitioners interviewed for Traditional Knowledge (TK) on Medicinal Plants” merupakan hasil Projek ‘Pendokumentasian Secara Komprehensif Pengetahuan Tradisi Melayu berkaitan Tumbuhan Ubatan di Semenanjung Malaysia’ yang dibiayai oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Jwan Heah menyampaikan sijil.
Bergambar dengan sijil yang baharu diterima.
Jwan Heah (kiri) menyampaikan sijil MBR kepada Khali Aziz. Dari kiri: Toh, Jwan Heah, Khali Aziz, Norini dan Nik Musaadah bergambar dengan sijil yang baharu diterima.

Sijil pengiktirafan bertarikh 21 September 2020 tersebut disampaikan oleh Jwan Heah, Pengarah Pemasaran MBR di Ibu Pejabat MBR, Kuala Lumpur. Turut hadir, Dr Nik Musaadah Mustapha, Ketua Projek TK Melayu; Dr Norini Haron, Penyelaras Projek; Toh An Nee, Ketua Komunikasi Korporat FRIM dan Siti Hajar Johor, Pegawai Eksekutif Pentadbiran Am MBR.

Seramai 2,934 pengamal perubatan tradisional Melayu berjaya ditemu bual tentang amalan dan tumbuhan ubatan yang digunakan oleh mereka dalam sesi bancian yang dijalankan di Semenanjung Malaysia. Projek yang bermula sejak 2013 sehingga kini ini merupakan satu usaha untuk mendokumentasikan penggunaan tumbuhan ubatan.

Pendokumentasian ini amat penting untuk memelihara dan memulihara pengetahuan tradisi, menghalang biopiracy dan salah guna serta memastikan perkongsian faedah hasil penggunaan sumber genetik berasaskan pengetahuan tradisi.

Ahli-ahli TK FRIM
Ahli-ahli pasukan TK FRIM.

Projek ini dijalankan dengan kejasama Pejabat Pembangunan Herba, MAFI; Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari serta Institut Penyelidikan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia; Perbadanan Harta Intelek Malaysia; Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan Herbwalk Consultancy.

Maklumat Terkini