MAKLUMAT TERKINI
FRIM diisytihar sebagai Warisan Kebangsaan
10 Mei 2012 (Isnin) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) sekali lagi melakar sejarah apabila diisytihar sebagai Warisan Kebangsaan Negara oleh YB Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, pada Majlis Perisytiharan Warisan Kebangsaan 2012 di Kuala Lumpur pagi ini.
Ketua Pengarah FRIM, Dato’ Dr Abd Latif Mohmod yang turut hadir di majlis tersebut berkata bahawa kampus FRIM di Kepong adalah hasil aktiviti-aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) perhutanan yang dijalankan sejak lebih 100 tahun lalu yang telah berjaya membangun serta memperkayakan kepelbagaian biodiversiti di kawasan bekas lombong bijih timah dan kebun sayuran.
Menurut beliau, pengisytiharan ini akan memberi lebih perlindungan kepada FRIM, membolehkan segala kecemerlangan, penghormatan dan aktiviti FRIM terus dihayati serta menjadi mercu tanda masyarakat Malaysia dan antarabangsa.
“Akhirnya, harapan dan impian saya menjadi kenyataan melalui peristiharan Warisan Kebangsaan ini; khususnya selepas FRIM diwartakan sebagai Tapak Warisan Semulajadi pada 2009. Saya merasa amat bersyukur dan berbangga kerana usaha yang saya mulakan sejak 2008 kini berjaya membuahkan hasil,” ujarnya lagi.
FRIM menerima pengisytiharan ini atas ketelusan usaha pemuliharaan dan pemeliharaan kawasan hutan tropika buatan manusia yang terbesar dan tertua di dunia selain merupakan satu-satunya institusi R&D perhutanan tropika di Malaysia.
Baru-baru ini, FRIM berjaya menjadi pemegang rekod kebangsaan Malaysia Book of Records (MBR), antaranya, bagi koleksi kayu yang terbesar dan tertua di Xylarium FRIM yang ditubuhkan pada 1918 dan menempatkan 10,036 sampel kayu daripada 1,587 spesies pokok.
Majlis Penyampaian Plak Warisan Kebangsaan kepada FRIM oleh Jabatan Warisan Negara dijangka akan diadakan sebelum penghujung tahun ini.
![]() |
![]() |
---|---|
Abd Latif di sudut pameran FRIM selepas majlis terserbut. | Dari kiri: Rais dan isterinya, Datin Seri Utama Masnah Rais diiringi oleh Abd Latif sedang melihat dengan lebih dekat tumbuhan herba yang dipamerkan oleh FRIM. |
Maklumat Terkini