MAKLUMAT TERKINI
FRIM-JBK anjur Bengkel Latihan Biokeselamatan
25 Februari 2019 (Isnin) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Jabatan Biokeselamatan (JBK) telah menganjurkan Bengkel Latihan Biokeselamatan pada 21 Februari lalu di FRIM, Kepong.
Abd Latif (kiri) dan Norsham berucap pada majlis. | Dari kiri: George, Norsham, Abd Latif dan Marzalina semasa upacara pertukaran dokumen. |
Bengkel anjuran bersama Jawatankuasa Biokeselamatan Keinstitusian (Institutional Biosafety Committee, IBC) FRIM dan JBK ini telah dirasmikan oleh Dato’ Dr Abd Latif Mohmod, Ketua Pengarah (KP) FRIM. Bengkel ini disertai oleh 30 staf FRIM daripada bahagian Bioteknologi Perhutanan, Hasilan Semula Jadi, Keluaran Hutan dan Biodiversiti Hutan.
Turut hadir pada majlis perasmian, Norsham Abdul Latip, KP JBK; Dato’ Dr Marzalina Mansor, Pengarah Bahagian Bioteknologi Perhutanan selaku Pengerusi Bersama IBC FRIM; dan George Wise Ajom, Pengarah Seksyen Penguatkuasaan dan Pemantauan JBK.
Bengkel tersebut bertujuan memberi pendedahan mengenai Akta Biokeselamatan 2007 yang telah berkuatkuasa pada 2010. Akta tersebut mengawal selia pelepasan, pengimportan, pengeksportan dan kegunaan terkawal organisma diubah suai yang hidup (Living modified Organism, LMO) serta hasilan dari organisma sedemikian dengan tujuan melindungi kesihatan manusia, tumbuh-tumbuhan, haiwan, alam sekitar dan kepelbagaian biologi.
Topik-topik pembentangan yang disampaikan pada bengkel ialah:
- Pengenalan kepada Akta Biokeselamatan 2007 (Akta 678) dan Peraturan-Peraturan Biokeselamatan (Kelulusan & Pemberitahuan) 2010 oleh Dr Anita Anthonysamy, JBK;
- Pengenalan kepada garis panduan IBC (Azareena Yahya, JBK);
- Pengenalan kepada IBC FRIM (Marzalina); dan
- Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 (Ili Daliela Md Razali, Jabatan Alam Sekitar).
Gambar berkumpulan peserta dan penganjur bengkel bersama Abd Latif (duduk, tengah). | Dari kiri: Anita, Azareena, Marzalina dan Ili Daliela semasa pembentangan masing-masing. |
Sempena bengkel tersebut, pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MOU) antara FRIM dan JBK turut diadakan. MOU ini mendokumenkan kerjasama antara dua pihak untuk menjalankan ujian pengesanan LMO sayuran.
Maklumat Terkini