MAKLUMAT TERKINI
FRIM, KEJORA adakan kerjasama R&D penanaman mengkuang
8 Mei 2018 (Selasa) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah memeterai Memorandum Perjanjian (MOA) dengan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) pada 6 Mei lalu untuk mengadakan kerjasama dalam kajian penanaman mengkuang di Kawasan Pertanian Kg. Tuan Seh, Mukim Sedili Besar, Johor.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Dr Khali Aziz Hamzah telah mewakili FRIM di majlis tersebut manakala KEJORA diwakili Pengurus Besarnya, Norazman Othman. MOA ini diadakan untuk melaksanakan kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi penubuhan ladang mengkuang di Kg Tuan Seh.
Projek ini merangkumi penyediaan anak-anak pokok serta pengujian kualiti daun mengkuang yang ditanam untuk diselaraskan dengan produk hiliran yang bakal dibangunkan.
KEJORA menyediakan kawasan R&D seluas 12.5 ekar dan dana manakala FRIM menawarkan kepakaran dalam membangunkan ladang mengkuang, pengujian kualiti daun mengkuang serta mengenalpasti spesies mengkuang yang sesuai.
Kerjasama ini dijangka akan menyumbang kepada perspektif dan hala tuju baharu industri kraftangan negara serta secara tidak langsung mendokong aspirasi kerajaan ke arah membudayakan perkongsian pengetahuan menerusi ‘technology transfer’. Ini merupakan usaha susulan daripada Memorandum Persefahaman (MOU) yang ditandatangani pada September 2017 lalu.
KEJORA berhasrat untuk membangunkan kawasan tersebut sebagai pusat agropelancongan yang berkonsepkan kraftangan. Cadangan tersebut merangkumi penubuhan germplasma termasuk koleksi benih mengkuang yang dilengkapi pusat penghasilan produk berasaskan mengkuang serta sebuah pusat informasi.
Majlis turut menyaksikan sesi pertukaran dokumen MOU antara KEJORA dan SIRIM bagi program pembangunan usahawan dan transformasi perniagaan. Turut hadir, Hamzah Isa, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) KEJORA; Zulkifli Abdullah, Pengurus Besar Kanan SIRIM; Zulkefly Songip, Pengarah Wilayah Selatan SIRIM; dan Dr Wan Rasidah Wan A. Kadir, Ketua Program Hutan Ladang FRIM.
Maklumat Terkini