MAKLUMAT TERKINI

FRIM: Kemasukan percuma ke KBG bagi warga emas mulai 21 Mac
By Published On: Februari 20, 2023

20 Februari 2023 (Isnin) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) akan mengecualikan yuran masuk ke Taman Botani Kepong (KBG) bagi semua warganegara Malaysia yang berumur 60 tahun ke atas mulai 21 Mac 2023, sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa (IDF).

FRIM juga akan mengecualikan yuran masuk bagi semua pengunjung pada hari-hari sambutan berkaitan dengan hutan dan alam sekitar seperti IDF pada 21 Mac; Hari Kepelbagaian Biologi (22 Mei); dan Hari Alam Sekitar Sedunia (5 Jun).

Ketua Pengarah FRIM, Dr Ismail Parlan mengumumkan keputusan tersebut semasa pelancaran Siri Ceramah Umum FRIM 2023 pagi 18 Mac lalu di kampus FRIM, Kepong.

Perkongsian pertama yang bertajuk, ‘No Wetlands, No Seafood?’ diadakan sempena Hari Tanah Lembap Sedunia yang disambut pada 2 Februari setiap tahun untuk memberi fokus kepada kepentingan pemuliharaan tanah lembap.

Sesi perkongsian oleh Tariq Mubarak Husin, pakar hutan bakau FRIM membincangkan keperluan pemuliharaan tanah lembap untuk kesinambungan manfaat daripada perkhidmatan ekosistem ini, bukan hanya bagi keselamatan makanan, malahan perlindungan pantai, pencegahan hakisan, kawalan banjir, penyimpanan karbon, sumber mata pencarian serta ekopelancongan.

Ceramah yang diadakan di Galeri Penyelidikan FRIM ini dihadiri 30 peserta berusia lapan hingga 69 tahun. Para peserta juga dibawa melawat denai alam FRIM untuk melihat fenomena ‘malu-malu silara’ (crown shyness).

Sesi ceramah yang seterusnya akan diadakan sempena sambutan IDF pada Mac 2023; Hari Bumi (April 2023); Hari Kepelbagaian Biologi (Mei 2023); dan Hari Kelip-kelip Sedunia (Julai 2023).

Ismail (kiri) berucap dan Tariq Mubarak semasa pembentangan. Ceramah di Galeri Penyelidikan FRIM yang dihadiri 30 peserta.
Gambar berkumpulan peserta dan penganjur sebelum lawatan ke denai alam. Jurupandu alam, Mohamad Effy Hafizi Mat Zen (menghadap kamera) berkongsi fakta menarik semasa sesi lawatan.

Maklumat Terkini