MAKLUMAT TERKINI

FRIM, Kerajaan Selangor pupuk kesedaran menjaga alam sekitar di kalangan pelajar
By Published On: November 6, 2019

6 November 2019 (Rabu) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah menganjurkan Program Kesedaran Alam ‘Kenali Spesies Dipterokarp: Ikon Hutan Tanah Pamah Kita’ dalam kalangan pelajar dengan sokongan Kerajaan Negeri Selangor semalam.

Tahun ini, FRIM mendapat peruntukan dana Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Selangor, Smart Selangor, Unit Perancang Ekonomi (UPEN) Selangor bagi melaksanakan program-program kesedaran alam sekitar.

1
1
Hee (kiri) dan Abd Latif menyampaikan ucapan masing-masing. Para peserta dan pihak penganjur program bergambar dengan Hee (duduk, tengah).

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Hee Loy Sian, Exco Negeri Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar & Teknologi Hijau, STI dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Selangor. Turut hadir, Datuk Dr Abd Latif Mohmod, Ketua Pengarah FRIM; Sajoli Masdor, Pegawai Pendidikan Daerah Gombak; Dr Ismail Parlan, Pengarah Perhutanan dan Alam Sekitar FRIM; dan Dr Noor Azlin Yahya, Ketua Program Ekopelancongan dan Hutan Bandar FRIM (EUF).

Spesies-spesies pokok famili Dipterocarpaceae (juga dikenali sebagai kaum damar) merupakan pokok-pokok yang mendominasi lapisan atas hutan di Malaysia. Komposisi yang banyak di hutan ini menjadikan kaum damar boleh dianggap sebagai ikon hutan negara kita. Di FRIM, pokok kaum damar ditemui dalam plot-plot penyelidikan serta di Arboretum Dipterokarpa yang menempatkan sebanyak 120 spesies.

1
1
Noor Azlin menerangkan keunikan kaum damar pada sesi pengenalan. Peserta mempelajari ciri-ciri spesies pokok kaum damar di Arboretum Dipterokarpa.

Program Kesedaran Alam ini dibuat berdasarkan modul pendidikan alam sekitar yang dibangunkan oleh EUF dengan tujuan meningkatkan pengetahuan tentang keunikan dan sumbangan spesies kaum damar terhadap hidupan sejagat. Program ini juga dapat meningkatkan perasaan empati terhadap usaha pemuliharaan kaum damar.

Program semalam dihadiri 32 pelajar Tingkatan Tiga daripada SMK Kepong, SMK Taman Ehsan, SMK Bukit Gading dan SMK Seri Kundang. Aktivit-aktiviti menarik seperti ceramah, ‘role play’ serta sesi perbincangan dikendalikan oleh para penyelidik FRIM.

Selain program hari ini, FRIM telah menganjurkan aktiviti ‘The Nightlife at FRIM’ pada 3 Mei lalu dan Kem Pendidikan Alam Sekitar ‘Kenali Khazanah Hutan’ dijadualkan pada 26-27 November nanti.

Maklumat Terkini