MAKLUMAT TERKINI

FRIM, KKM meterai MOU untuk kajian produk herba
By Published On: April 2, 2018

30 Mac 2018 (Jumaat) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) petang tadi untuk bekerjasama dalam memastikan produk-produk tradisional atau bahan mentah herba yang dipasarkan di Malaysia berkualiti dan selamat digunakan.

Semasa Majlis Menandatangani MOU di Bilik Mesyuarat Licuala.

Ketua Pengarah (KP), Dato’ Dr Abd Latif Mohmod mewakili FRIM dalam menandatangani MOU manakala KKM pula diwakili KP Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Abd Latif (kiri) dan Noor Hisham semasa sesi pertukaran dokumen.

Dalam kerjasama ini, FRIM bertanggungjawab memberikan pendedahan kepada industri tempatan akan kepentingan ujian kawalan kualiti atas bahan mentah herba sebelum digunakan sebagai bahan aktif produk tradisional; menjalankan perkhidmatan ujian dan nasihat dalam ujian kawalan kualiti ke atas produk serta bahan mentah herba dan juga menjalankan validasi serta verifikasi terhadap ujian kawalan kualiti yang dibangunkan.

Abd Latif berkata: “FRIM berusaha memberi bimbingan kepada usahawan herba bagi menghasilkan produk yang selamat dan berkesan melalui pemindahan teknologi dalam bentuk kursus, latihan teknikal, serta perkhidmatan; khususnya pemprosesan berdasarkan amalan pengilangan baik (GMP) dan perkongsian pintar melalui kolaborasi dengan pihak industri, akademik atau pihak berkepentingan daripada aspek teknologi piawai yang berkaitan dari peringkat huluan ke hiliran dalam proses pengeluaran produk herba.”

MOU herbal product testing

Dari kiri: Amim, Nor Azah, Abd Latif, Noor Hisham, Ramli dan Noorul Akmar bergambar selepas menandatangani MOU.

Noor Hisham mengucapkan tahniah kepada FRIM atas pengiktirafan Makmal Natural Product Quality Control (NPQC) oleh KKM melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi perkhidmatan analisis produk tradisional melibatkan ujian had logam berat, kontaminasi mikrobial, keseragam berat serta pengecaian produk kapsul dan tablet untuk tiga tahun sehingga 2020.

“Diharap dengan kerjasama ini, kajian-kajian berkaitan herba dapat dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat Malaysia dan seterusnya turut memacu ekonomi negara,” tambahnya.

Gambar berkumpulan semua pegawai-pegawai FRIM dan KKM yang menghadiri majlis tersebut.

NPQC yang berstatus akreditasi MS ISO/IEC 17025 telah diiktiraf sebagai makmal BioNexus Partner (BNP) oleh BioEconomy Corporation. Dalam MOU berkenaan, FRIM dilantik oleh NPRA sebagai salah satu Pusat Pensahihan Bahan Mentah Herba.

Turut hadir, Dato’ Sri Mohd Amim A. Wahab, Anggota FRIM dan juga Penasihat FRIM Inc.; Dr Ismail Harun, Timbalan KP (Penyelidikan) FRIM; Dr Khali Aziz Hamzah, Timbalan KP (Operasi); Dr Nor Azah Mohamad Ali, Pengarah Bahagian Hasilan Semula Jadi FRIM; Dr Ramli Zainal, Pengarah NPRA dan Noorul Akmar Mohd Nur, Timbalan Pengarah Pusat Kawalan Kualiti NPRA.

Maklumat Terkini