MAKLUMAT TERKINI
FRIM menang Anugerah Buku untuk kali ke-3
13 Disember 2013 (Jumaat) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah memenangi Anugerah Buku Negara 2013 untuk tahun yang ketiga berturut-turut dan kali ini, FRIM membawa pulang dua anugerah iaitu Anugerah Industri Buku bagi Kategori Buku Umum Terbaik (Sains) dan Anugerah Perdana bagi Kategori Penyelidikan.

(Kedua dari kanan di hadapan) Zawiah memegang trofi sementara Othaman (kedua dari kiri) sedang menerima sijil daripada Abu Bakar.
FRIM berjaya meraih Anugerah Industri Buku (Kategori Sains) bagi buku bergambarnya yang bertajuk, “99 Spesies Buah di FRIM” yang ditulis oleh Zawiah Ngah, Pembantu Penyelidik FRIM, dan suaminya, Othaman Hasin, yang berkhidmat sebagai pemandu di FRIM.
Pasangan ini yang berminat mengambil gambar serta menimba ilmu tentang pelbagai jenis buah-buahan telah diberi galakan oleh Ketua Pengarah (KP) FRIM, Dato’ Dr Abd Latif Mohmod untuk menghasilkan sebuah buku mengenai buah-buahan di FRIM.

Othaman (kiri) dan Zawiah (kedua dari kanan) bersama-sama meraikan kemenangan dengan Abd Latif (kedua dari kiri) dan Penyelidik FRIM, Praveena A/P Balai Kerishnan.
Buku yang berjaya ditulis oleh mereka dalam masa lebih daripada satu tahun ini telah disunting oleh Abd Latif sendiri dengan bantuan daripada beberapa pegawai penyelidik FRIM termasuk dua orang ahli botani.
Hasil usahasama ini adalah sebuah penerbitan cantik 256-muka surat yang mengandungi penerangan serta maklumat saintifik tentang spesies buah-buahan terpilih yang dijumpai di dalam kampus FRIM di Kepong serta di beberapa stesen penyelidikan FRIM.

Abd Latif (kiri) bergambar bersama Pengerusi YPBN, Hasan Hamzah (tengah) dan Ahmad Zahid (kanan) selepas menerima sijil dan trofi anugerah.
Pasangan yang diiringi oleh Abd Latif dan pegawai lain yang terlibat dalam penghasilan dan promosi buku tersebut telah menerima trofi dan sijil anugerah yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah di majlis penyampaian anugerah pada 11 Disember.
Anugerah Perdana bagi buku “FRIM Warisan Kebangsaan” pula telah diterima oleh KP FRIM di Majlis Anugerah Buku Negara 2013 pada 12 Disember yang disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Majlis Anugerah Buku Negara ini telah diadakan sempena Ekspo Buku 1Malaysia 2013 dan Persidangan Buku Antarabangsa 2013 yang dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, dari 11 hingga 15 Disember.

Abd Latif mengangkat trofi anugerah semasa sesi gambar bersama pegawai-pegawai kanan yang terlibat dalam penulisan buku “FRIM Warisan Kebangsaan”.
Buku “FRIM Warisan Kebangsaan” yang telah dilancarkan oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel pada 11 November ini memaparkan secara komprehensif tentang latar belakang dan sumber maklumat FRIM sehingga melayakkannya sebagai Warisan Semula Jadi dan Warisan Kebangsaan.
Buku yang dihasilkan dengan penglibatan 59 orang pegawai FRIM ini mengandungi 16 bab yang masing-masing membincangkan tentang kampus FRIM, penyelidikan, pendidikan, pencapaian, sumbangan kepada komuniti dan aspirasi masa hadapan.
Abd Latif mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua warga FRIM yang terlibat dalam penghasilan buku-buku ini. Beliau berkata pencapaian ini tidak mungkin menjadi kenyataan tanpa sumbangan, semangat kerja gigih dan berpasukan, ketabahan dan komitmen mereka.
“Ini adalah kali ketiga FRIM memenangi Anugerah Buku Negara. Saya amat berbangga dengan pencapaian ini. Walau bagaimanapun, masih banyak lagi yang perlu dilakukan kerana FRIM mempunyai banyak pengetahuan dan maklumat untuk dikongsi dengan masyarakat. Oleh itu, FRIM berhasrat untuk terus menghasilkan penerbitan baru untuk tujuan rekod dan rujukan masa hadapan,” kata beliau.
FRIM telah memenangi Anugerah Buku Negara 2011-2012 bagi Kategori Buku Teknikal Terbaik untuk penerbitannya bertajuk, “Wild Orchids of Peninsular Malaysia”, yang dihasilkan oleh Ong Poh Teck, Peter O’ Byrne, Wendy Yong dan Dr Saw Leng Guan.
FRIM juga membawa pulang Anugerah Buku Negara bagi Kategori yang sama untuk pertama kali pada 2010 bagi penerbitannya yang bertajuk, “FRIM Tapak Warisan Semulajadi Negara“.
Maklumat Terkini