MAKLUMAT TERKINI

FRIM, peneraju bidang pengawetan kayu M’sia
By Published On: Jun 22, 2018

22 Jun 2018 (Jumaat) – Makmal Analisis Awetan Kayu (MAAK) Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) akan lebih gigih menjalankan kajian pembangunan bahan awet kurang toksik dan mesra alam dengan kolaborasi bersama industri pengawetan kayu. MAAK berusaha membangunkan kaedah analisis kimia yang lebih pantas selaras dengan revolusi industri 4.0 yang menekankan aspek pemodenan seperti data besar, aplikasi kecerdasan pintar dan robotik.

MAAK berhasrat menjadi makmal berautoritatif bagi menyokong pelaksanaan Skim Perkhidmatan Pensijilan Produk (PCS) yang dibangunkan oleh FRIM.

Ketua Pengarah FRIM, Dato’ Dr Abd Latif Mohmod berkata, “Pertumbuhan ekonomi Malaysia yang pesat meningkatkan permintaan bahan mentah yang berkualiti tinggi. Ini adalah penting untuk memenuhi keperluan ujian dan penentusahan kualiti rawatan kayu di makmal bertauliah yang mematuhi keperluan piawai.”

Beliau berkata FRIM juga sentiasa berusaha meningkatkan ketahanan dan mutu produk hasilan kayu daripada sumber alternatif bagi menyumbang ke arah pemuliharaan khazanah hutan negara.

Sijil akreditasi ISO G 25 (kiri) dan ISO 9001 yang diterima. 

Ketua MAAK, Dr Mohamad Nasir Mat Arip menjalankan analisis penentuan bahan awet dalam kayu. 

Peningkatan permintaan pasaran dan kemerosotan bekalan kayu keras padu (heavy hardwood) yang bertahan lama seperti chengal dan merbau telah mencetuskan keperluan alternatif seperti kayu-kayu kurang berketahanan yang diawet untuk meningkatkan daya ketahanan.

Di sekitar 1960-an hingga 1980-an, bahan awet berasaskan air seperti tembaga (copper), krom (chrome), arsenik (arsenic, CCA) dan boron telah digunakan dalam pengawetan kayu. CCA digunakan dalam rawatan kayu kekuda bumbung manakala boron dalam rawatan kayu getah bagi produk perabot. ‘Light Organic Solvent Preservative’ (LOSP) juga digunakan untuk mengawet kayu meranti merah muda bagi pasaran Australia. Penyelidikan dan pembangunan teknologi pengawetan kayu telah menjadikan kayu getah sebagai sumber bahan mentah yang utama bagi industri perabot tempatan.

MAAK telah berjaya diakreditasi MS ISO/IEC G 25 oleh Majlis Akreditasi Malaysia (dikenali sebagai Majlis Standard dan Akreditasi Malaysia sekarang) pada 1998 menjadikannya makmal FRIM pertama mendapat akreditasi tersebut. MAAK telah diakreditasi dengan ISO 9001 pada 2001 dan dinaiktaraf ke MS ISO/IEC 17025 pada 2003.

Dalam aspek keselamatan makmal, MAAK mendapat pengiktirafan Anugerah Kecemerlangan Makmal Institut Kimia Malaysia (IKM) sejak 1996. MAAK juga menerima Anugerah Perak IKM pada 2005, Anugerah Emas IKM (2010) dan Anugerah Platinum IKM (2015). MAAK juga diiktiraf Pencapaian Makmal Paling Konsisten di Mesyuarat Ketua-Ketua Eksekutif Badan-Badan Berkanun Persekutuan pada 2009 atas sumbangannya kepada industri pembinaan negara.

Setakat kini, MAAK telah memberi perkhidmatan ujian rambatan kering garam CCA dalam kayu berawet dan ujian penentuan kandungan boron dalam produk perabot kepada 5,434 syarikat. Selain itu, MAAK juga menyediakan khidmat perundingan dalam bidang pengawetan kayu dan menawarkan latihan kepada industri perkayuan dalam aspek pematuhan kualiti dan pengendalian kaedah rawatan kayu.

wood preservation

Keadaan di MAAK pada 1997. 

Mohamad Nasir (kiri) menerima Anugerah Platinum IKM pada 2015. 

Maklumat Terkini