MAKLUMAT TERKINI
FRIM, pusat rujukan kajian taksonomi serangga
28 Disember 2018 (Jumaat) – Kaya dengan koleksi serangganya, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah menjadi pusat rujukan bagi kajian taksonomi serangga bagi saintis tempatan dan antarabangsa. Cawangan Entomologi (ENTO) FRIM yang menguruskan koleksi rujukan entomologi ini juga menawarkan perkhidmatan pengecaman serangga kepada industri dan agensi kerajaan.
Koleksi rujukan ini mengandungi lebih kurang 600,000 spesimen dan 10,000 daripada jumlah tersebut telah dikenalpasti spesiesnya. Pusat koleksi ini juga mempunyai 187 holotip dan hampir 1,000 paratip yang diderma oleh ahli taksonomi yang mengkaji spesimen berkenaan.
Ahli kaji serangga,Veronica Khoo (kiri) dan Ong Su Ping sedang meneliti spesimen-spesimen serangga. | Spesimen serangga disimpan dalam kotak dan kabinet khas. |
Koleksi serangga ini dimulakan pada 1932 oleh F.G. Browne, Penolong Pemelihara Hutan di Institut Penyelidikan Perhutanan (FRI) yang merupakan panggilan FRIM dahulu. Browne memberi fokus kepada serangga perosak kayu atau spesies kayu balak bernilai tinggi seperti kumbang ambrosia. Pada tahun 1948, beliau dilantik secara rasmi sebagai ahli kaji serangga pertama di FRI. Namun, selepas negara mencapai kemerdekaan pada 1957, banyak spesimen termasuk spesimen tip Browne telah dipindah dan disimpan di ‘British Museum (Natural History)’ yang kini dikenali sebagai ‘Natural History Museum’ di London.
Pada tahun 1951, K.D. Menon menggantikan Browne dan meneruskan kajian serangga perosak kayu dan serangga lain. Sebahagian besar spesimen telah dikenalpasti oleh pakar taksonomi dari ‘Commonwealth Institute of Entomology’ dan ‘British Museum (Natural History)’. Menon merupakan saintis tempatan pertama yang dilantik sebagai Pengarah FRI pada 1976-1977. Kajiannya diambil alih G. Dhanaraj yang mempunyai minat terhadap anai-anai.
Dr Tho Yow Pong menyertai FRI sebagai ahli kaji serangga hutan pada 1973 dan beliau menjalankan kajian terhadap anai-anai, rama-rama serta kumpulan serangga lain. Koleksi spesimen terus meningkat melalui projek usahasama dengan para penyelidik dari Jepun, United Kingdom, Jerman dan negara-negara lain. Banyak spesies baharu telah dijumpai dan spesimen tipnya disimpan di pusat koleksi.
|
|
---|---|
Spesimen yang disimpan dalam bentuk slaid (kiri) dan yang diawet dalam alcohol (kanan). | Mendiang Dr Tho meneliti busut anai-anai. |
Kajian terkini di ENTO merangkumi pemantauan dan pemuliharaan kelip-kelip; inventori semut dan kupu-kupu serta dokumentasi serangga perosak hutan dan pengawalannya. Dari 1988 sehingga 2018, ENTO telah menerima kunjungan 288 pelawat tempatan dan 109 pelawat luar negara daripada 23 buah negara. Para saintis FRIM juga menjalankan 89 perkhidmatan pengecaman serangga untuk agensi kerajaan, industri, syarikat dan individu dengan sebanyak 169 spesies dikenalpasti sejak 2001.
Untuk sebarang pertanyaan tentang perkhidmatan yang berkenaan serangga, sila hubungi Ketua Cawangan Entomologi FRIM, Dr Nada Badruddin di talian 03-06279 7112 / 7111 atau emel kepada ENTO@frim.gov.my / FRIM_biodiversity@frim.gov.my.
Maklumat Terkini