16 Jun 2023 (Jumaat) – Institut Penyeldikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah mengadakan Majlis Anugerah FRIM 2022 dan Majlis Jasamu Dikenang semalam untuk meraikan warga FRIM yang telah menunjukkan prestasi kerja cemerlang sepanjang tahun 2022 serta meraikan persaraan pesara dan bakal pesara FRIM.
Majlis yang diadakan di Dewan Alwy, Kepong ini dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Asli) Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Abdul Wahid Abu Salim.
Turut hadir, Ketua Pengarah (KP) FRIM, Dr Ismail Parlan; Timbalan KP (Operasi), Dr Lillian Chua; Anggota Institut FRIM Lokman Mohamad dan Penolong Setiausaha Bahagian Pengurusan Biodiversiti dan Perhutanan NRECC, Nor Diana Ramli.
Pegawai Penyelidik Bahagian Hasilan Semula Jadi, Dr Nik Musa’adah Mustapha merupakan penerima Anugerah Saintis Terbaik manakala mantan TKPO Dr Noor Azlin Yahya dan penyelidik Mohd Afendi Hussin yang telah bersara menerima Anugerah Ketua Pengarah.
Kajian ‘Production of Eucalyptus Plantlets Using Tissue Culture Techniques’ yang diketuai Dr Nor Hasnida Hassan, Ketua Program Bioteknologi menerima Anugerah Penyelidikan Terbaik.
Anugerah Pekerja Terbaik (Kumpulan Pengurusan dan Professional) diterima oleh Maizura Ishak, Pegawai Cawangan Teknologi Maklumat manakala bagi kumpulan pelaksana, penerima anugerah ini adalah Sabariah Ramuddin daripada Bahagian Bioteknologi Perhutanan dan Mahat Shumsudin (Bahagian Perhutanan dan Alam Sekitar).
Selain itu, Abdul Wahid, KP dan Timbalan KP FRIM juga menyampaikan anugerah-anugerah berikut:
- Anugerah Sukan
- Anugerah Penerbitan
- Anugerah Khidmat Setia
- Anugerah Khidmat Masyarakat
- Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (Kumpulan)
- Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (Individu)
Majlis Jasamu Dikenang pada kali ini bertujuan merakamkan penghargaan atas segala jasa dan khidmat bakti kepada 17 pesara dan bakal pesara FRIM.
Pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) NRECC yang turut diadakan petang semalam, Pegawai Penyelidik Program Hutan Ladang, Dr V. Jeyanny Vijayanathan dan Abd Majid Jalil (Program Kawalan Kualiti Herba) telah menerima Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC) yang disampaikan oleh YB Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri NRECC.
PPC merupakan pengiktirafan Jawatankuasa Induk Pingat Perkhidmatan Cemerlang (JKIPPC) Jabatan Perkhidmatan Awam dan merupakan kali pertama pencalonan FRIM berjaya dipilih.
Gambar berkumpulan staf FRIM yang menghadiri Majlis Anugerah FRIM 2022 dan Majlis Jasamu Dikenang. | Dari kiri: Mohd Afendi, Abdul Wahid, Noor Azlin dan Ismail semas penyampaian Anugerah Ketua Pengarah. |
Gambar berkumpulan penjawat awam yang telah dan akan bersara bersama Ismail (kepalan dari kiri), Abdul Wahid dan Chua. | Dari kiri: Jeyanny, Ismail dan Abd Majis menghadiri Majlis APC NRECC. |