MAKLUMAT TERKINI

FRIM raih pingat emas Anugerah BioInnovation
By Published On: Disember 1, 2014

24 November 2014 (Rabu) – Penyelidik Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dr Mohd Khairun Anwar Uyup, telah memenangi pingat emas di BioInnovation Awards 2014 yang diadakan sempena Biotechnology Asia yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 19-21 November.

Khairun memenangi pingat emas.

Khairun yang mengetuai pasukan penyelidik yang terdiri daripada Dr Hamdan Husain, Prof Dr Paridah Md Tahir, Siti Rafidah Mahmud, Mat Yaacob Che Wan dan Mohd Faizul Mohd Shukari telah menerima pingat tersebut pada 20 November bagi projek, Exterior Grade Plybamboo.

BioInnovation Awards 2014 dan Biotechnology Asia dianjurkan bersama oleh Persatuan Saintis Penyelidikan Malaysia (MARS) dan PROTEMP Exhibitions Sdn. Bhd. dengan mempromosi hasil-hasil penyelidikan, idea serta reka bentuk terkini untuk komersialisasi dalam industri bioteknologi.

Secara semula jadi, plybamboo mempunyai sifat hygroscopicity (menyerap kelembapan) yang akan menyebabkannya mudah pecah dan bilah buluhnya boleh menjejaskan potensi penggunaan untuk aplikasi struktur. Projek ini bertujuan meningkatkan sifat-sifat plybamboo melalui impregnation modification dengan menggunakan resin fenolik dan meringkaskan proses penghasilan plybamboo.

Khairun memberi penerangan kepada panel mengenai inovasi Exterior Grade Plybamboo.

Usaha untuk mempertingkatkan kestabilan dimensi dan sifat-sifat mekanik plybamboo untuk penggunaan luar adalah dengan merendam bilah buluh dengan resin fenolik sebelum pembuatan plybamboo, termasuk penilaian resin impregnation, mewujudkan sistem pengeringan yang sesuai dan teknik pelekatan serta tekanan pemanasan pada bilah buluh yang dirawat fenolik.

Bilah Gigantochloa scortechinii (buluh semantan) telah dipilih untuk projek ini. Kajian membuktikan sifat mekanik dan fizikal buluh yang dirawat fenolik menunjukkan penambahbaikan yang ketara. Kedua-dua sampel yang dirawat dan tidak dirawat fenolik telah didedahkan di ruang terbuka selama satu tahun. Keputusan menunjukkan bahawa plybamboo dirawat fenolik mempunyai sifat lentur yang tinggi dan kemamapatan yang kuat. Didapati ciptaan ini juga lebih tahan lama untuk aplikasi luaran; menghasilkan produk akhir yang berkualiti; mengurangkan kos dan masa pengeluaran serta memaksimumkan pengunaan dirian buluh.

Buluh yang dirawat fenolik boleh digunakan sebagai komponen dalam rangka badan lori, perabot taman atau sebagai bahan binaan untuk pembinaan termasuk lantai dan dek. Teknologi ini telah memperoleh paten (MY-147974-A) daripada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada 28 Februari 2013.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Mohd Khairun melalui e-mel: mkanwar@frim.gov.my.

 

Maklumat Terkini