MAKLUMAT TERKINI

FRIM sedia bantu pemuliharaan kelip-kelip
By Published On: Mac 24, 2018

14 Mac 2018 (Rabu) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) bersedia untuk membantu mana-mana kerajaan negeri untuk memulihara habitat kelip-kelip yang merupakan ‘ikon cahaya Malaysia’.

firefly conservation

Abd Latif: Perubahan yang memberi kesan terhadap habitat kelip-kelip akan menyebabkan penurunan populasinya.

Ketua Pengarah (KP), Dato’ Dr Abd Latif Mohmod berkata, “FRIM mempunyai kepakaran untuk membantu menyelamatkan populasi kelip-kelip melalui pemuliharaan ekosistem yang menyokong kitaran hidup kelip-kelip serta kelestarian sumber makanannya.”

Berdasarkan projek penyelidikan yang dijalankan oleh Cawangan Entomologi FRIM, kelip-kelip daripada genus Pteroptyx (contohnya Pteroptyx tener) berkumpul di pokok-pokok bakau dan mengeluarkan cahaya secara bersinkroni. Bagi melindungi habitat semula jadi kelip-kelip, zon penampan (buffer zone) sekurang-kurangnya 50 meter di kedua-dua tebing sungai perlu diwujudkan bagi mengelak kejadian pencerobohan dan pencemaran.

Fireflies exhibiting

Kelip-kelip mengeluarkan cahaya bersinkroni.

“Komposisi spesies dalam zon penampan perlu dikaji, dan komposisi tumbuhan di situ juga perlu diperkayakan dengan penanaman lebih banyak pokok seperti pokok sagu, berembang dan nipah,” kata beliau.

Beliau juga mengalu-alukan kerjasama dengan pihak kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan untuk menubuhkan pusat penyelidikan kelip-kelip di kawasan berkenaan bagi pemuliharaan habitat serta ekosistem untuk memastikan kelestarian populasi kelip-kelip.

Firefly larva feeding

Larva kelip-kelip sedang memakan siput.

“Hampir 60% daripada kitaran hidup peringkat awal kelip-kelip (peringkat telur, larva dan pupa) dihabiskan di kawasan vegetasi pinggir sungai yang teduh dan sering dibanjiri air pasang surut. Siput yang merupakan sumber makanan larva kelip-kelip turut dijumpai di kawasan tersebut,” kata Veronica Khoo, Ahli Entomologi FRIM.

Beliau berkata mulai 2006, FRIM memantau populasi kelip-kelip setiap bulan dengan menggunakan kaedah fotografi malam yang mesra alam di tujuh lokasi merangkumi 1.6 kilometer sepanjang Sungai Selangor antara Tanjung Labak dan Kampung Sepakat. Data yang diperolehi Cawangan Entomologi FRIM menunjukkan penurunan populasi kelip-kelip di Kampung Kuantan sebanyak 42% dari tahun 2007 ke 2016. Faktor utama kepada penurunan ialah perubahan yang berlaku kepada ekosistem habitat semulajadinya.

The natural habitats for firefly larvae

Habitat semula jadi larva kelip-kelip dan siput yang harus dipulihara.

Abd Latif memuji usaha Kerajaan Negeri Selangor yang telah mewartakan kawasan seluas lebih 1000 hektar di sepanjang Sungai Selangor sebagai zon perlindungan kelip-kelip pada 2009; serta membeli balik tanah di Tanjung Beluntas untuk tujuan rehabilitasi oleh FRIM.

Maklumat Terkini