MAKLUMAT TERKINI

FRIM sertai program lestarikan habitat kelip-kelip Kuala Selangor
By Published On: Disember 26, 2018

24 Disember 2018 (Isnin) – Sekumpulan penyelidik daripada Cawangan Entomologi Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah menyertai program penanaman pokok sagu (Metroxylon sagu) di kawasan Tanjung Beluntas yang terletak di seberang sungai, bertentangan dengan Jeti Kelip-kelip Kampung Kuantan pada 8 Disember lalu.

Program yang bertujuan untuk memulihara habitat dan populasi kelip-kelip tersebut dirasmikan oleh Tuan Shamsul Shahril Badzila Mohd Nor, Pegawai Daerah Kuala Selangor selaku penganjur program bersama Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Selangor.

Tuan Shamsul Shahril Badzila, Pegawai Daerah Kuala Selangor
Kakitangan FRIM (berbaju hitam) memberi taklimat
Tuan Shamsul Shahril Badzila, Pegawai Daerah Kuala Selangor (ketiga dari kanan) merasmikan program dengan menanam anak benih sagu bersama Mohd Rizan, Penghulu Mukim Pasangan (paling kanan).  Kakitangan FRIM (berbaju hitam) memberi taklimat mengenai tatacara penanaman anak pokok sagu. 

Sejumlah 50 anak pokok sagu ditanam oleh komuniti tempatan diketuai oleh Penghulu Mukim Pasangan, Mohd Rizan Haron bersama ketua-ketua kampung serta wakil-wakil daripada EXCO Pelancongan, ADUN Permatang, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

Pokok-pokok sagu ini ditanam bagi menggalakkan kemandirian siput-siput kecil seperti Cyclotropis carinata yang merupakan sumber makanan kelip-kelip pada peringkat larva. Kajian FRIM telah mendapati larva kelip-kelip serta sumber makanannya iaitu siput Cyclotropis carinata bergantung kepada kawasan yang mempunyai dirian pokok sagu sebagai habitat. Oleh itu, selain memulihara pokok peragaan di tebing sungai, vegetasi semulajadi di sebalik tebing sungai juga perlu diberi keutamaan untuk kelestarian populasi kelip-kelip.

Kumpulan penyelidik bergambar bersama selepas penanaman pokok
Kumpulan penyelidik bergambar bersama selepas penanaman pokok. 

Tanjung Beluntas merupakan kawasan di dalam Zon Perlindungan (Enekmen LUAS) dan  lapan tahun lalu, Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil balik tanah di kawasan tersebut untuk tujuan rehabilitasi habitat kelip-kelip. Semenjak 2011, FRIM memainkan peranan penting dalam aktiviti rehabilitasi kawasan tersebut dengan penyeliaan Cawangan Ekofisiologi FRIM yang diketuai Dr Ang Lai Hoe.

Maklumat Terkini