MAKLUMAT TERKINI
FRIM tambah skop ujian perabot bagi keperluan jaminan kualiti
12 Januari 2018 (Jumaat) – Makmal Ujian Perabot (FTL) Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), makmal pertama di rantau Asia yang memperoleh akreditasi ‘Furniture Industry Research Association’ (FIRA) dari United Kingdom (UK), akan menambah skop ujian seiring dengan perkembangan terkini bagi memenuhi keperluan jaminan kualiti produk tempatan.

Gambar staf FTL yang diketuai Dr Khairul Awang (keempat dari kanan) bersama jurutera FIRA, Bruce Lovell (kelima dari kanan) di hadapan makmal.
Ketua Pengarah FRIM, Dato’ Dr Abd Latif berkata makmal ini ditubuhkan sejak 1989 untuk membantu pengusaha mempertingkatkan tahap kualiti perabot bagi pasaran tempatan serta luar negara melalui ujian-ujian perabot serta khidmat nasihat berkaitan pengujian.
FTL telah memperoleh akreditasi FIRA pada 16 September 1994 untuk skop ujian perabot (performance test) yang meliputi kekuatan (strength), ketahanan (durability), kestabilan (stability) dan keselamatan (safety) bagi membantu perabot tempatan menembusi pasaran Eropah terutama UK.
Makmal ini turut berjaya memperolehi pensijilan ISO 9001 pada 2006 dan akreditasi ISO/IEC 17025 pada 2010 daripada Jabatan Standard Malaysia (DSM). Kini, skop ujian telah ditambah dari tiga kepada 11 produk merangkumi perabot domestik, bukan domestik serta ‘outdoor’.
Abd Latif berkata kaedah dan pelaporan ujian FTL juga diperakui oleh badan dunia iaitu ‘International Laboratory Accreditation Cooperation–Mutual Recognition Agreement (ILAC-MRA)’ pada 2011 sebagai setanding dengan makmal-makmal perabot lain dalam menjalankan ujian mengikut standard antarabangsa.
Selain standard British (BS EN), makmal ini juga mampu menjalankan ujian berdasarkan piawaian antarabangsa lain seperti BIFMA (Business and Institutional Furniture Manurfacturers Association di Amerika Syarikat) dan Aus/NZ (Australia dan New Zealand). Kadar yuran yang dikenakan adalah berdasarkan jenis perabot dan juga jenis-jenis ujian yang diperlukan.
Sehingga hari ini, FRIM telah menerima permintaan ujian daripada lebih 1200 pelanggan. Enam puluh peratus daripada jumlah ini terdiri daripada syarikat pengeksport manakala 40% daripada syarikat bagi pasaran tempatan.
FTL pernah menjalankan kerjasama dengan syarikat bertaraf antarabangsa seperti IKEA pada 1994-1996 dan juga mengadakan perkongsian kepakaran bersama peserta luar negara untuk menjalankan ujian perabot. Selain pelanggan dalam negara, FTL turut menerima pelanggan dari negara Denmark, Vietnam, Indonesia, UK, Sepanyol, Sri Lanka dan Singapura.
Abd Latif berkata inisiatif Perkhidmatan Pensijilan Produk FRIM (FRIM PCS) yang diperkenalkan sejak 2013 akan menyumbang kepada peningkatan pelanggan dan FTL sedang menaiktaraf infrastruktur bagi menampung permintaan ini selaras dengan pelaksanaan syarat pensijilan FRIM PCS oleh Kementerian Kewangan (MOF) terhadap semua pembekal perabot berpusat yang dijangka akan berkuatkuasa tahun ini.
Tambah beliau, selain menambah skop ujian bagi produk perabot di bawah pensijilan FRIM PCS, FTL juga merancang untuk meningkatkan skop perkhidmatannya berdasarkan keperluan ujian baharu bagi pelanggan. Antaranya, ujian mudah terbakar (flammability test) yang menjadi keperluan (regulated) bagi pengeksport perabot ke Eropah sekarang.
Pada Januari 2015, FTL telah diiktiraf sebagai makmal ujian perabot pertama dibangunkan di Malaysia oleh Malaysia Book of Records (MBR). Untuk maklumat lanjut, sila hubungi: akhairul@frim.gov.my atau sitizalehaali@frim.gov.my.
Maklumat Terkini