MAKLUMAT TERKINI

FRIM tanam pokok, sambut Hari Hutan Antarabangsa
By Published On: Mac 21, 2022

21 Mac 2022 (Isnin) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah mengadakan aktiviti penanaman pokok di beberapa lokasi dalam kampusnya di Kepong sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa (HHA), pagi tadi.

Dr Ismail Parlan, Ketua Pengarah (KP) FRIM bersama Dr Noor Azlin Yahya, Timbalan KP (Operasi); pengarah-pengarah dan wakil-wakil bahagian telah menanam 51 batang pokok di Field 30.

Bilangan pokok itu juga bersempena dengan tahun ke-51 tarikh 21 Mac diisytiharkan sebagai Hari Perhutanan Sedunia (World Forestry Day) oleh FAO pada 1971 kemudiannya ditukar kepada HHA (IDF) pada 2013 melalui pengisytiharan rasmi oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 2012.

Pokok-pokok yang ditanam terdiri daripada spesies penaga lilin (Mesua ferrea), pelong licin (Pentaspadon motleyi), belian (Eusideroxylon zwageri), jambu bol (Syzygium malaccense), meranti kepong (Shorea ovalis) dan balau sengkawang air (Shorea sumatrana).

Dalam ucapannya, Ismail berkata: “Penyelidikan FRIM memastikan bagaimana inovasi berasaskan hutan, kecekapan sumber, produk berasaskan hutan dan perkhidmatan ekosistem boleh menyumbang kepada gaya hidup mampan. Usaha penyelidikan ini juga selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDGs), iaitu kesihatan, kesejahteraan dan peralihan ke arah ekonomi rendah karbon dan hijau.”

Selain itu, staf Bahagian Keluaran Hutan turut mengadakan aktiviti menanam 13 pokok di Pusat Teknologi Kayu (TTC) manakala staf Cawangan Ekopelancongan (ECO) pula menanam 11 pokok di Paya Burung.

Ismail berucap sebelum penanaman pokok. Gambar berkumpulan peserta penanaman pokok sempena HHA.
Wakil-wakil bahagian menanam pokok di Field 30. Aktiviti penanaman pokok di TTC.

Maklumat Terkini