MAKLUMAT TERKINI
FRIM terima Anugerah Buku Negara 2022
23 Ogos 2022 (Selasa) – Dua buku terbitan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) berjudul ‘Lata Kekabu, Lenggong Permata Yang Tersembunyi’ dan ‘Cantiknya Rotan’ telah menerima Anugerah Buku Negara 2022, masing-masing dalam kategori Buku Umum Terbaik (Ekosistem) dan Buku Umum Terbaik (Penyelidikan).
Kedua-dua anugerah ini telah disampaikan oleh Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Prof. Adjung Universiti Putra Malaysia (UPM) kepada Dr Ismail Parlan, Ketua Pengarah FRIM dalam Majlis Anugerah Buku Negara 2022 yang diadakan sempena Persidangan Buku Antarabangsa, Ekspo Buku Malaysia dan Forum Kelab Penulis di UPM petang tadi.
Abu Kassim diiringi oleh Tan Sri Prof. Datuk Wira Dr Abdul Latiff Abu Bakar, Pengerusi Lembaga Pengelola Yayasan Pembangunan Buku Negara; YH. Dato’ Prof. Dr Mohd Roslan Sulaiman, Naib Canselor UPM; dan Prof. Ir. Ts. Dr Mohamed Thariq Hameed Sultan, Pengarah Pusat Penerbit UPM.
Buku ‘Lata Kekabu, Lenggong Permata Yang Tersembunyi’ merupakan hasil penulisan gabungan penjawat awam dari FRIM iaitu Dr Hamdan Omar, Azharizan Mohd Norizan, Wan Mohd. Nafizul Hal-alim Wan Ahmad, Noor Syahirah Zulkefli dan Mohd Erwan Mohd; Mohd Yussainy Md Yusop dari Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Dato’ Mohamed Zin Yusop dari Jabatan Perhutanan Negeri Perak. Buku yang disunting YB Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, Dr Khali Aziz Hamzah dan Dato’ Indera Mohd Ridza Awang ini bertujuan memperkenalkan keunikan serta kepelbagaian biologi yang terdapat di Lata Kekabu serta memupuk rasa kecintaan kepada khazanah alam yang berdekatan dengan masyarakat.
Buku ‘Cantiknya Rotan’ mengandungi maklumat umum status industri rotan di Malaysia serta mengetengahkan illustrasi anyaman serta gambar-gambar produk rotan untuk menarik minat masyarakat tempatan terhadap keunikan produk hasil seni tempatan. Buku ini dihasilkan oleh penyelidik FRIM, Dr Hamdan Husain, Muhammad Syamil Kamarulzaman dan Dr Nordahlia Abdullah Siam.
FRIM giat menghasilkan pelbagai bentuk penerbitan seperti buku panduan, artikel jurnal, prosiding, tesis, bab dalam buku, serta artikel teknikal /semi-teknikal/bukan teknikal untuk rujukan komuniti saintifik. Bagi membolehkan maklumat dan penemuan penyelidikan yang dihasilkan oleh FRIM difahami oleh semua lapisan masyarakat, FRIM telah mula menghasilkan penerbitan dalam bentuk bahan bacaan mesra ilmu sejak 2009. Hingga kini, FRIM telah menghasilkan lebih daripada 50 buku mesra ilmu dalam pelbagai topik berkaitan kepelbagaian biologi, perhutanan dan alam sekitar.
Turut hadir, Sarifah Kunju Ahmad, Pengarah Perkhidmatan Teknikal dan Toh An Nee, Ketua Komunikasi Korporat.
Dari kiri: Toh, Hamdan Husain, Nordahlia, Ismail, Hamdan Omar, Azharizan Sarifah dan Wan Mohd. Nafizul Hal-alim bersama trofi dan sijil anugerah. | Abu Kassim (ketiga dari kiri) menyampaikan sijil kepada Ismail dengan diperhatikan oleh (dari kiri) Mohamed Thariq, Abdul Latiff, Mohd Roslan, Hamdan Husain dan Nordahlia |
Gambar berkumpulan para pemenang bersama dif-dif kehormat. | Buku ‘Lata Kekabu, Lenggong Permata Yang Tersembunyi’ (kiri) dan ‘Cantiknya Rotan’ yang dihasilkan oleh FRIM. |
Maklumat Terkini