MAKLUMAT TERKINI
FRIM terima Anugerah IDB 2012 di Sudan
4 April 2012 (Rabu) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah menerima Anugerah Sains dan Teknologi Bank Pembangunan Islam (IDB) 2012 bagi “Institusi yang telah mencapai kecemerlangan dari segi sumbangan saintifik atau teknologikal terhadap pembangunan sosio-ekonomi negara anggota” di Khartoum, Sudan, semalam.
Dari kanan: Abd Latif, Mohd Azmi, Zeti dan Mohd Ashri bergambar bersama selepas majlis penyampaian anugerah IDB.
Ketua Pengarahnya, Dato’ Dr Abd Latif Mohmod, telah menerima hadiah plak, sijil pengiktirafan dan wang tunai berjumlah US$100,000 yang disampaikan oleh Presiden Republik Sudan, Omar Hassan Ahmed al-Bashir dengan diiringi oleh Presiden IDB, Dr Ahmad Mohamed Ali Al-Madani di majlis khas yang diadakan bersempena dengan Mesyuarat Lembaga Gabenor IDB yang ke-37.
Abd Latif (kanan) menerima plak Anugerah IDB daripada Presiden Sudan (kiri), dengan diperhatikan oleh Presiden IDB di Khartoum.
Majlis yang sama juga telah menyaksikan penyampaian Anugerah IDB dalam Perbankan dan Kewangan Islam kepada Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz. Turut hadir untuk meraikan pencapaian yang membanggakan negara ini ialah Prof. Dato’ Dr Mohd Azmi Omar, Ketua Pengarah Institut Latihan dan Penyelidikan Islam (IRTI) dan Dato’ Mohd Ashri Muda, Duta Besar Malaysia ke Republik Sudan.
Penerimaan anugerah ini adalah satu pengiktirafan terhadap kecemerlangan pencapaian FRIM dalam menerajui bidang perhutanan, bioteknologi perhutanan, alam sekitar dan biodiversiti hutan serta sumbangannya kepada pembangunan sains dan teknologi dalam sektor perhutanan di Malaysia.
Usaha FRIM untuk berkongsi teknologi dan hasil R&D dengan orang ramai melalui penerbitan artikel-artikel saintifik dan bukan saintifik; kejayaannya dalam pengkomersialan hasil R&D; serta penerimaan pelbagai anugerah dan pengiktirafan lain juga telah melayakkan FRIM untuk menerima anugerah ini.
IDB merupakan sebuah insititusi kewangan antarabangsa yang menggalakkan pembangunan ekonomi dan sosial negara-negara anggota khususnya komuniti Islam dunia.
Maklumat Terkini