MAKLUMAT TERKINI
FRIM terima anugerah kecemerlangan pengurusan kewangan
5 Mac 2018 (Isnin) – FRIM telah menerima ‘Anugerah Kecemerlangan Penarafan Lima Bintang Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntabiliti’ bagi tahun 2016 daripada Jabatan Audit Negara.
Abd Latif (kiri) dan Mohd Zamshari Abd Rahman, Pengarah Kewangan FRIM menunjukkan sijil yang diterima.
Pengiktirafan lima bintang yang julung-julung kali diterima ini menunjukkan FRIM di bawah kepimpinan Ketua Pengarah (KP), Dato’ Dr Abd Latif Mohmod telah berjaya menguruskan kewangannya dengan penuh bertanggungjawab dan berintegriti.
Pengauditan yang dilaksanakan pada 28 November hingga 22 Disember 2016 memberi tumpuan terhadap sembilan (9) aspek iaitu Kawalan Pengurusan; Kawalan Bajet; Kawalan Terimaan; Kawalan Perbelanjaan; Pengurusan Kumpulan Wang Amanah/Akaun Amanah dan Deposit; Pengurusan Aset dan Inventori; Pengurusan Pelaburan dan Pengurusan Pinjaman serta Penyata Kewangan.
Pengarah Kewangan FRIM, Mohd Zamshari Abd Rahman berkata pencapaian ini adalah hasil kerjasama, kesedaran dan komitmen semua warga FRIM, terutamanya kesungguhan KP FRIM yang sentiasa menitikberatkan ketelusan dan pematuhan kepada semua peraturan yang ditetapkan, amalan mengambil tindakan segera dan menepati masa dalam menjalankan tugas.
Abd Latif berharap pengiktirafan ini akan memberi semangat kepada warga FRIM untuk terus berusaha membudaya dan mengekalkan kecemerlangan ini dalam bidang tugas masing-masing.
Maklumat Terkini