MAKLUMAT TERKINI

FRIM terima anugerah pelancongan Selangor 2013
By Published On: November 20, 2013

19 November 2013 (Selasa) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah menerima anugerah penghargaan dari Kerajaan Negeri Selangor dan Tourism Malaysia Selangor atas sumbangannya kepada industri pelancongan di negeri tersebut.

Trofi dan sijil penghargaan yang diterima oleh FRIM.

Majlis Apresiasi Pelancongan Selangor 2013 yang berlangsung di Subang Jaya pada 15 November ini telah disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim.

Abdul Khalid telah menyampaikan sijil penghargaan dan trofi anugerah kepada Ketua Pengurusan Korporat, Norhayati Nordin, yang mewakili FRIM.

FRIM adalah salah satu daripada lima destinasi eko-pelancongan di Selangor yang terpilih untuk menerima anugerah tersebut. Destinasi lain adalah Pulau Ketam di Klang, Taman Botani Negara di Shah Alam, Kalumpang Resort Training Center di Hulu Selangor, dan Hutan Lipur (Gunung Nuang) di Hulu Langat di bawah Jabatan Perhutanan Selangor.

Norhayati (keempat dari kiri) berdiri antara Elizabeth Wong dan Abdul Khalid bersama penerima lain dalam anugerah kategori ekopelancongan.

Turut hadir untuk memeriahkan majlis ialah YB Elizabeth Wong Keat Ping yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar.

Matlamat acara tahunan ini adalah untuk membangun, menggalak dan menyerlahkan kebaikan dan keistimewaan produk pelancongan Selangor; serta memberi pengiktirafan kepada pihak usahawan, pengusaha serta pemain industri pelancongan.

Maklumat Terkini