MAKLUMAT TERKINI

FRIM terima Anugerah Sains Mahathir 2009
By Published On: September 28, 2009
Dato’ Dr Abd Latif menerima anugerah

Dato’ Dr Abd Latif menerima anugerah daripada Perdana Menteri.

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah menerima Anugerah Sains Mahathir 2009 di upacara penyampaian rasmi yang telah dianjurkan oleh Akademi Sains Malaysia pada 28 September 2009 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), Kuala Lumpur.

Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Razak, telah menyampaikan anugerah tersebut kepada Ketua Pengarah (KP) FRIM, Dato’ Dr Abd Latif Mohmod. Pemilihan FRIM ialah menerusi kategori Sumber Asli Tropika (“Tropical Natural Resources”) yang mengiktiraf sumbangan FRIM kepada pembangunan industri perabot melalui penyelidikan penggunaan kayu getah tempatan.

Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian Anugerah Sains Mahathir 2008 kepada Prof Dr Gurdev Singh Khush, Profesor di University of California, di atas jasa beliau dalam bidang penyelidikan padi yang telah berjaya meningkatkan pengeluaran beras dunia.

Penerima Anugerah Sains Mahathir

Penerima Anugerah Sains Mahathir bersama-sama sebahagian daripada ahli Majlis Akademi Sains Malaysia melawat mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum majlis penyampaian anugerah tersebut.

Kedua-dua penerima anugerah telah menyampaikan syarahan kejayaan masing-masing pada 29 September 2009 di Dewan Plenari, KLCC. Mantan KP FRIM, Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor yang telah memainkan peranan penting menerusi Jawatankuasa Penyelidikan Getah serta bertanggungjawab menggerakkan pasukan penyelidik FRIM telah menyampaikan syarahan bertajuk “Rubberwood: From Waste to Wealth”.

Semasa sesi perbincangan intelektual yang diadakan, Abd Latif memberi penjelasan lebih lanjut berkenaan usaha penyelidikan sains yang dijalankan oleh FRIM bagi membangun serta meningkatkan pengunaan kayu getah sebagai sumber kayu yang penting.

Sesi taklimat ini telah dihadiri lebih kurang 300 orang termasuk para saintis, ahli-ahli akademik, guru dan pelajar sekolah menengah, sementara 40 peserta yang terdiri daripada saintis dan para penyelidik mengikuti sesi perbincangan intelektual.

Dato' Dr Abd Latif

Dr Abd Latif memperinci aktiviti saintifik dalam penyelidikan semasa sesi perbincangan intelektual.

Pengarah serta saintis FRIM

Pengarah serta saintis FRIM berkongsi saat yang membanggakan bersama mantan KP Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor.

Maklumat Terkini