MAKLUMAT TERKINI

FRIM terima satu lagi pengiktirafan ‘Malaysia Book of Records’
By Published On: November 16, 2021

1 November 2021 (Isnin) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah menerima satu lagi sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR), kali ini untuk ‘Largest Ex-situ Collection of Isolated Actinobacteria’ pada hari ini.

Dari kiri: Lili Sahira, Jwan Heah, Ismail dan Getha semasa penyampaian sijil MBR. Sijil MBR yang diterima.

Sijil pengiktirafan bertarikh 20 April 2021 ini disampaikan oleh Jwan Heah, Pengarah Pemasaran MBR kepada Dr Ismail Parlan, Ketua Pengarah FRIM di Ibu Pejabat MBR di Kuala Lumpur pagi tadi.

Turut hadir, Dr Getha A/P R. Krishnasamy, Ketua Makmal Penyelidikan Biomolekul (MPB), Program Bioaktiviti, Bahagian Hasilan Semula Jadi; Lili Sahira Husin, Pegawai Penyelidik; Toh An Nee, Ketua Komunikasi Korporat; Nur Afniza Mohammad Ghazali, Pegawai Informasi FRIM serta Siti Hajar Johor, Pegawai Eksekutif Pentadbiran Am MBR.

Sejumlah 6,641 pencilan Actinobacteria yang dikrioawet dalam gliserol pada suhu -80oC, merupakan koleksi terbesar Actinobacteria yang dipencil dari beberapa negeri di Semenanjung Malaysia dan dipulihara serta didokumentasi ciri-cirinya.

Actinobacteria ialah sekumpulan bakteria gram-positif berfilamen yang berpotensi dalam aplikasi penjagaan kesihatan (penemuan ubatan), pertanian, bioremediasi, pengeluaran enzim dan produk-produk penting lain dalam industry. Koleksi FRIM tersebut merupakan suatu khazanah berharga bagi menyokong usaha negara dalam memulihara kepelbagaian mikrob dan pada masa yang sama, menyediakan sumber yang mampan untuk penyelidikan dan komersialisasi.

Tahniah diucapkan kepada Dr Getha dan pasukan MPB atas pencapaian ini. Sijil pengiktirafan MBR yang diterima pada hari ini merupakan yang ke-45 bagi FRIM.