MAKLUMAT TERKINI
FRIM terima UNESCO Sultan Qaboos Prize bagi Pemuliharaan Alam Sekitar
17 November 2021 (Rabu) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah menerima anugerah UNESCO Sultan Qaboos Prize 2021 untuk Pemuliharaan Alam Sekitar bersama-sama dengan Universidad para la Cooperacion Internacional (UCI), Costa Rica.
![]() |
![]() |
---|---|
Dari kiri: Dr Madiha Ahmed Nasser al Ahaibaniya, Menteri Pendidikan Oman; Xing Qu, Timbalan KP UNESCO; dan Ismail semasa penyampaian anugerah. | Ismail menyampaikan ucapan pada majlis. |
Anugerah berprestij ini diberikan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan cemerlang individu, kumpulan individu, institut atau organisasi dalam pengurusan atau pemuliharaan alam sekitar, selaras dengan dasar, matlamat dan objektif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) serta berhubung dengan program-program UNESCO dalam bidang ini.
Diwujudkan 32 tahun lalu melalui sumbangan dana daripada Sultan Qaboos Bin Said Al Said dari Oman, hadiah ini diberikan setiap dua tahun.
![]() |
---|
Ismail bersama sijil dan pingat. |
Ketua Pengarah (KP) FRIM, Dr Ismail Parlan menerima anugerah tersebut pada majlis penyampaian anugerah yang diadakan di Persidangan Agung UNESCO ke-41 di Paris, Perancis, hari ini.
FRIM dipilih sebagai pengiktirafan terhadap inisiatifnya untuk memantau dan memulihara spesies-spesies terancam yang penting kepada negara, menghasilkan penerbitan seperti Senarai Merah Tumbuhan Malaysia bagi tujuan pemuliharaan serta mendokumentasikan pengetahuan tradisi masyarakat Orang Asli dan masyarakat tempatan.
FRIM merupakan salah satu institusi terkemuka dalam penyelidikan hutan tropika di dunia. FRIM bukan sahaja menjalankan penyelidikan mengenai biodiversiti, ekosistem landskap hutan, hasil hutan, ekonomi, dan pra-pengkomersialan produk baharu tetapi juga menyumbang secara signifikan dalam pemuliharaan biodiversiti di peringkat kebangsaan.
Baru-baru ini, FRIM telah menghasilkan penerbitan ‘Senarai Merah Malaysia: Tumbuhan Semenanjung Malaysia. Vol. 1’ yang mengandungi status pemuliharaan 1,353 taksa yang terdapat di Semenanjung Malaysia.
Sementara itu, UCI menerima anugerah ini atas sokongan dalam mencipta rizab biosfera baharu di Amerika Latin di Sumaco (Ecuador), Cabo de Hornos (Chile) dan Agua y Paz (Costa Rica) serta menggalakkan amalan penjanaan semula (regenerative practices) di dalam rizab biosfera.
Aktiviti-aktiviti ‘outreach’ dan kesedaran awam yang dijalankan oleh FRIM dan juga UCI yang melibatkan pelajar, komuniti tempatan dan eko-pelancongan turut diiktiraf oleh panel juri.
“FRIM telah diwartakan sebagai Tapak Warisan Semula Jadi pada 2009 dan secara rasmi diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan di Malaysia pada 2012. Kini, FRIM sedang berusaha ke arah mencapai pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Pencalonan FRIM telah dimasukkan ke dalam senarai tentatif pada 2017 dan penghantaran dokumen lengkap pencalonan FRIM disasarkan dalam tempoh dua hingga tiga tahun,” kata Ismail dalam ucapannya.
“Saya berharap dengan penerimaan anugerah ini serta peluang berada di sini dapat membantu FRIM dalam mempromosikan kepentingan penyelidikan perhutanan serta pencalonan FRIM sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO,” tambah beliau.
Timbalan Delegasi Tetap Malaysia ke UNESCO, Afidah Arshad yang turut mengucapkan tahniah kepada FRIM berkata pengiktirafan ini jelas menunjukkan peranan yang dimainkan oleh FRIM selaku peneraju agensi Kerajaan dalam pelbagai usaha konservasi biodiversiti dan alam sekitar diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Maklumat Terkini