MAKLUMAT TERKINI

FRIM tingkat usaha mencapai status UNESCO
By Published On: November 15, 2018

12 November 2018 (Isnin) – Didorong oleh pengumuman bajet dan sokongan kerajaan baru-baru ini, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) akan meningkatkan usahanya ke arah mencapai status Tapak Warisan Dunia (WHS) UNESCO.

“Bajet yang dibentangkan mencerminkan kesungguhan kerajaan kita dalam memulihara hutan negara serta menunjukkan sokongan terhadap usaha FRIM untuk mencapai status WHS UNESCO menjelang tahun 2020. Saya telah memulakan usaha ini sejak 2008 lagi dan menubuhkan satu pasukan untuk berusaha mencapai cita-cita ini dengan sokongan Kerajaan Selangor dan Jabatan Warisan Negara (JWN). Dengan sokongan yang berterusan, saya yakin kita akan berjaya,” kata Dato’ Dr Abd Latif Mohmod, Ketua Pengarah FRIM.

Beliau berkata FRIM sedang menyediakan Dossier Lengkap bagi WHS UNESCO Paris untuk penghantaran pada 2019 dan seterusnya, proses penilaian tapak akan dibuat oleh pihak pertubuhan ‘International Council on Monuments and Sites’ (ICOMOS). FRIM juga sedang merangka rancangan pengurusan untuk memastikan kemampanan dan pemuliharaan kampus hijau serta komuniti setempat.

FRIM UNESCO status
Fenomena ‘crown shyness’ merupakan antara tarikan utama di FRIM. Pemandangan hutan di waktu pagi yang menarik di FRIM.

FRIM yang berjaya diwartakan sebagai Tapak Warisan Semula Jadi pada tahun 2009 dan diisytiharkan sebagai Warisan Negara pada 2012 mula melaksanakan Projek WHS UNESCO pada tahun 2013.

Abd Latif berkata sebagai sebahagian daripada usaha ke arah ini, FRIM akan menganjurkan Persidangan Tapak Warisan Negeri Selangor 2018 pada 14-15 November ini dengan kerjasama Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor serta JWN. Persidangan yang akan diadakan di Shah Alam ini bertujuan berkongsi penemuan saintifik yang berkaitan dengan nilai sejagat cemerlang bagi FRIM serta Permatang Kuarza Gombak Selangor.

FRIM, Permatang Kuarza Gombak Selangor dan Taman Negeri Royal Belum di Gerik, Perak telah diterima dalam senarai pencalonan WHS UNESCO pada tahun 2017.

Abd Latif yakin FRIM akan berjaya mencapai cita-citanya. 

Pencalonan FRIM untuk status WHS UNESCO dibuat berdasarkan kriteria “Budaya” berdasarkan kepentingannya sebagai:

  1. Hutan tropika buatan manusia terbesar dan tertua di dunia;
  2. Model hutan regenerasi dan rujukan dunia bagi pemuliharaan hutan tropika;
  3. Ekosistem unik yang menyimpan pelbagai flora hutan tropika;
  4. Pusat koleksi terbesar bagi germplasma dipterokarpa; dan
  5. Pusat penyelidikan hutan tropika terulung dunia.

Maklumat Terkini