MAKLUMAT TERKINI
FRIM tutup Taman Botani dan Skywalk mulai esok
4 Oktober 2020 (Ahad) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah mengambil keputusan untuk menutup buat sementara waktu Taman Botani Kepong (KBG), Taman Warisan serta Forest Skywalk kepada pengunjung mulai hari Isnin (5 Oktober) sehingga satu tarikh yang akan ditentukan kelak.
Keputusan pihak pengurusan FRIM ini diambil sebagai langkah berjaga-jaga bagi melindungi staf FRIM serta para pengunjung memandangkan peningkatan kes COVID-19 khususnya di negeri Selangor yang semakin membimbangkan.
Poster penutupan semetara KBG dan ‘Forest Skywalk’. | Khali berkata FRIM mengutamakan keselamatan. |
FRIM akan mengkaji semula keputusan ini berdasarkan laporan dan maklumat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Dr Khali Aziz Hamzah, Ketua Pengarah (KP). FRIM berkata, “Sebagai institusi yang bertanggungjawab, FRIM akan sentiasa mengutamakan keselamatan semua pihak dan segala tindakan yang diambil terutamanya dalam situasi terkini haruslah berdasarkan kepada keutamaan ini walaupun mungkin akan mengecewakan sesetengah pihak.”
Beliau juga mengingatkan semua warga FRIM supaya terus memastikan pematuhan SOP dan amalan yang ditekankan oleh KP Kesihatan bagi melindungi diri serta keluarga terutamanya ahli-ahli keluarga yang berisiko tinggi.
Semalam, YB Dato’ Dr Shamsul Anuar Nasarah, Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata segala urusan melibatkan rakyat mesti diutamakan dan dipermudahkan tetapi mesti dilakukan bagi mengawal penularan COVID-19.
‘Forest Skywalk’ di KBG menjadi tumpuan pengunjung sejak dibuka pada 31 Ogos lalu. |
Sehubungan itu, beliau meminta pihak kementerian dan semua ketua jabatan/agensi di bawahnya untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi mempertingkatkan langkah-langkah pencegahan serta memastikan pematuhan SOP yang ditetapkan terutamanya di tempat-tempat tumpuan.
Sebanyak 32 kes COVID-19 baru dilaporkan bagi Selangor semalam manakala Malaysia mencatatkan 317 kes baru yang kesemuanya jangkitan tempatan.
Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi Unit Komunikasi Korporat FRIM (03-6279 7591/7529/7458 | emel: FRIMCCU_officers@frim.gov.my / feedback@frim.gov.my).
Maklumat Terkini