MAKLUMAT TERKINI
Ara berbuah – menjadi tarikan burung
30 Julai 2018 (Isnin) – Pokok ara (Ficus binnendijkii) di hadapan bangunan D4 Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) yang sedang berbuah telah menjadi tumpuan pelbagai spesies burung baru-baru ini.
Para penyelidik Cawangan Zoologi (ZOO) FRIM yang mengadakan aktiviti memerhati burung pada 26 Julai lalu telah mengenalpasti dan merekodkan sekurang-kurangnya 10 spesies, termasuk perling (Aplonis panayensis), burung daun besar (Chloropsis sonnerati) dan merbah kapur (Pycnonotus goiavier).
Penyelidik ZOO Nor Hazwani Ahmad Ruzman (kanan) dan Mohammad Shahfiz Azman sedang memerhatikan burung. | Pokok ara yang dinamakan sempena Dr Francis Ng. |
Walaupun FRIM merupakan hutan buatan manusia, hampir 200 spesies burung daripada lebih 45 famili dijumpai dan direkod di sini. Musim buah pokok ara yang berlaku dua atau tiga kali setahun merupakan peluang keemasan untuk aktiviti memerhati burung.
Pokok ara ini telah ditanam oleh mantan Timbalan Ketua Pengarah FRIM, Dr Francis Ng daripada keratan yang dikutip dari Perak pada 1982. Bekas pakar botani FRIM, K.M. Kochummen mengenal pasti spesies ini sebagai satu spesies baharu dan dinamakan Ficus ngii sempena nama Ng. Walau bagaimanapun, berdasarkan kajian semula semua spesies ara di rantau Malesiana oleh seorang pakar taxonomi, nama spesies tersebut kemudian dikemaskini kepada Ficus binnendijkii.
Dari kiri: burung perling, burung daun besar dan merbah kapur yang diperhatikan. bulbul. |
Maklumat Terkini