MAKLUMAT TERKINI

JTFS FRIM terima sijil CREAM 2018
By Published On: November 1, 2018

29 Oktober 2018 (Isnin) – Journal of Tropical Forest Science (JTFS) terbitan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah menerima Sijil Pengiktirafan Skim Galakan Penerbitan (CREAM) 2018 bagi kategori Jurnal Berprestasi Tinggi Diindeks dalam Web of Science pada 25 Oktober lalu.

Ketua Pengarah (KP) FRIM, Dato’ Dr Abd Latif Mohmod telah menerima sijil yang disampaikan oleh Datin Paduka Ir Dr Siti Hamisah Tapsir, KP Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada Majlis Malaysia’s Research Star Award (MRSA) dan Pengiktirafan Jurnal CREAM 2018 anjuran Jabatan Pendidikan Tinggi, KPM melalui Pusat Sitasi Malaysia. Majlis yang diadakan di Gateway Ballroom Sama-Sama Hotel, KLIA ini telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KPM, Dato’ Dr Mohd Gazali Abas.

KP FRIM (kiri) dan Sarifah bergambar dengan sijil-sijil pengiktirafan bagi JTFS.
KP FRIM (kiri) dan Sarifah bergambar dengan sijil-sijil pengiktirafan bagi JTFS.
Dari kiri: Zuraidah, Siti Hamisah, Md Salleh dan Abd Latif semasa majlis penyampaian sijil.  KP FRIM (kiri) dan Sarifah bergambar dengan sijil-sijil pengiktirafan bagi JTFS. 

JTFS merupakan satu-satunya jurnal terbitan institusi penyelidikan daripada 22 jurnal universiti awam dan swasta yang terpilih untuk pengiktirafan CREAM tahun ini. Pengiktirafan ini bertujuan merai jurnal-jurnal tempatan yang berprestasi cemerlang sebagai galakan bagi peningkatan serta visibiliti jurnal ilmiah negara di peringkat antarabangsa.

Abd Latif merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga FRIM yang terlibat dalam menyokong penerbitan JTFS terutamanya kepada mantan-mantan KP FRIM iaitu Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor dan Dato’ Dr Abd Razak Mohd Ali.  

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada ahli sidang editor JTFS iaitu Dr S. Appanah, Khoo Kean Choon, Ho Yuen Foon, Sarifah Kunju Ahmad, Dr Vimala Subramaniam dan Dr Francis S.P. Ng yang sentiasa berusaha meningkatkan kualiti artikel yang diterbitkan serta semua penyelidik tempatan dan antarabangsa yang memberi sokongan kepada JTFS.

“Saya bersyukur atas pengiktirafan ini. Jurnal ini turut menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Record (MBR) pada 2012 sebagai jurnal saintifik pertama di Malaysia yang mempunyai impak faktor. Saya percaya, kedua-dua pengiktirafan ini akan terus mendorong FRIM untuk menghasilkan lebih banyak artikel saintifik yang berautoritatif dalam bidang penyelidikan perhutanan,” ujar beliau.

Sijil MBR JTFS bagi rekod jurnal saintifik pertama yang mempunyai faktor impak.
Sijil MBR JTFS bagi rekod jurnal saintifik pertama yang mempunyai faktor impak.

Turut hadir, Prof. Madya Dr Zuraidah Abd. Manaf, Ketua Pusat Sitasi Malaysia; Prof. Dato’ Seri Dr Md Salleh Yaapar, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal CREAM 2018; dan Sarifah, editor JTFS dari Bahagian Perkhidmatan Teknikal, FRIM.

JTFS yang mula diterbitkan pada September 1988 merupakan jurnal antarabangsa yang menitikberatkan isu-isu perkembangan hutan tropika terutamanya dari aspek pengurusan serta penggunaan hutan tropika. Untuk maklumat lanjut tentang JTFS serta artikel-artikel terbitannya, sila layari https://www.frim.gov.my/publication/journal-of-tropical-forest-science-jtfs/.

 

 

Maklumat Terkini