MAKLUMAT TERKINI
Kanak-kanak, ibu bapa kelab asma tanam pokok di FRIM
8 April 2019 (Isnin) – Kanak-kanak dan ibu bapa dari Kelab Asma Kanak-kanak Selangor dan Wilayah Persekutuan telah menyertai akitiviti penanaman pokok ‘Let’s Go Green’ anjuran Yayasan Paru-paru Malaysia (LFM) dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) pada 6 April lalu di FRIM, Kepong.
Program ini telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, YB Dr Lee Boon Chye. Turut hadir, Pengerusi LFM, Dato’ Dr Zainudin Md Zin dan Ketua Pengarah FRIM, Dato’ Dr Abd Latif Mohmod.
Dari kiri: Lee, Abd Latif dan Zainudin menyampaikan ucapan masing-masing. |
Lee menanam pokok meranti kepong (Shorea ovalis) sebagai acara simbolik bagi memperingati program ini yang diadakan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan penjagaan alam sekitar, tumbuh-tumbuhan dan hutan yang menghasilkan udara segar serta bersih untuk kesihatan dan kesejahteraan umum. Selain mempromosikan usaha penghijauan dan pemuliharaan alam sekitar untuk generasi akan datang, ia juga merupakan salah satu daripada aktiviti LFM untuk meningkatkan kesedaran umum terhadap penyakit asma.
Enam puluh peserta termasuk pelajar perubatan Kolej Universiti Lincoln menyertai program tersebut yang juga diadakan bersempena Sambutan Hari Antarabangsa (IDF). Mereka menanam 20 pokok daripada lima spesies (Shorea sumatrana, S. glauca, Neobalanocarpus heimii, Hopea sp. dan Intsia palembanica).
Zainudin, Lee dan Abd Latif bergambar bersama peserta program ‘Let’s Go Green’. |
LFM ialah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang komited terhadap peningkatan standard penjagaan dan rawatan untuk pesakit paru-paru. Ditubuhkan pada 2006, LFM menawarkan sokongan dan bantuan kepada para pesakit yang mengidap penyakit kronik serta mendidik masyarakat tentang pelbagai jenis penyakit paru-paru. LFM memilih FRIM kerana ia merupakan lokasi paling sesuai untuk penanaman pokok. Terletak kira-kira 16 km di utara Kuala Lumpur, ia merupakan salah satu kawasan hijau terakhir yang penting di Lembah Klang. Merangkumi 544 hektar, ia merupakan habitat kepada lebih 15 juta tumbuhan daripada lebih 2,000 spesies flora.
Dari kiri: Aziah, Zainudin, Sadali, Lee, Abd Latif dan Norhayati semasa upacara penanaman pokok. | Satu keluarga dari kelab asma bergambar selepas menanam pokok. |
FRIM aktif terlibat dalam penghutanan semula dan pemulihan kawasan yang bermasalah di seluruh negara. Malah, kampus FRIM di Kepong merupakan model bagi kejayaan usaha penghutanan semula yang bermula sejak 1920-an. Kini, FRIM diiktiraf sebagai hutan hujan tropika buatan manusia yang tertua dan terbesar di dunia. FRIM telah diwartakan sebagai Tapak Warisan Semula Jadi pada 2009 dan Warisan Kebangsaan pada 2012; serta sedang berusaha ke arah mencapai pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Turut hadir, Datuk Dr Aziah Ahmad Mahayiddin, Prof. Madya Dr Jessie Anne De Bruyne dan Prof. Madya Dr Pang Yong Kek, Ahli-ahli Majlis Pemegang Amanah LFM; Datin Norhayati Shaari, isteri Zainudin; Toh An Nee, Ketua Komunikasi Korporat FRIM dan Sadali Sahat, Penyelidik FRIM.
Maklumat Terkini