MAKLUMAT TERKINI

KP FRIM dilantik kali ketiga sebagai Pengerusi APAFRI
By Published On: Disember 1, 2018

29 November 2018 (Khamis) – Ketua Pengarah (KP) Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dato’ Dr Abd Latif Mohmod telah dilantik semula sebulat suara sebagai Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Institusi-Institusi Perhutanan Asia Pasifik (APAFRI) untuk satu penggal lagi mulai 2018 sehingga 2021.

Gambar berkumpulan ahli-ahli yang menghadiri Mesyuarat Agong APAFRI.
Abd Latif menyampaikan ucapan beliau. Gambar berkumpulan ahli-ahli yang menghadiri Mesyuarat Agong APAFRI.

Keputusan ini telah diumumkan ketika Mesyuarat Agung APAFRI yang kelapan yang diadakan di Putrajaya, Malaysia pada hari ini. Abd Latif  telah dilantik pada kali pertamanya sebagai Pengerusi APAFRI semasa Mesyuarat Agung yang kelima di Kuala Lumpur pada 2009 dan sekali lagi di Guangzhou, China pada 2012 pada mesyuarat keenam. Abd Latif merupakan Pengerusi APAFRI pertama dipilih untuk kali ketiga.

Dalam ucapannya di mesyuarat tersebut, Abd Latif berkata FRIM akan terus komited menjadi tuan rumah kepada sekretariat persatuan tersebut. Dr Gan Kee Seng, Pengarah Bahagian Keluaran Hutan FRIM yang telah berkhidmat dengan Sekretariat APAFRI sejak 2015, akan terus dikekalkan sebagai Setiausaha Eksekutif APAFRI untuk menyelia operasi Sekretariat. Turut hadir, Dr Park Jung Hwan, bekas Pengerusi APAFRI dari Korea.

From left: Abd Latif, Gan and Park at the meeting.
Abd Latif (left) presenting a certificate of appreciation to Park.
Dari kiri: Abd Latif, Gan dan Park semasa sesi mesyuarat. Abd Latif (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Park.

APAFRI merupakan sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang mempunyai 69 ahli institusi dari 25 buah negara termasuk negara-negara Asia Tenggara, China, Jepun, Korea dan Australia. Ia mempunyai kepentingan yang aktif dalam penyelidikan perhutanan, pemuliharaan, pengurusan dan lain-lain perkara-perkara berkaitan perhutanan di rantau Asia Pasifik.

Maklumat Terkini