MAKLUMAT TERKINI
KP FRIM: jangan masuk kawasan larangan
4 March 2019 (Monday) – 4 Mac 2019 (Isnin) – Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dato’ Dr Abd Latif Mohmod mengingatkan semua pelawat supaya tidak memasuki kawasan larangan di kampus FRIM termasuk plot penanaman pokok, arboretum atau denai-denai alam tanpa diiringi jurupandu alam FRIM bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
“Pihak FRIM sudah memberi peringatan kepada pengunjung serta meletak papan tanda, namun ada segelintir yang masih tidak menghiraukan peraturan FRIM,” kata Abd Latif. |
Baru-baru ini, terdapat dua kejadian pengunjung sesat selepas memasuki kawasan larangan. Dalam insiden terkini yang berlaku semalam, enam pelawat dilaporkan sesat setelah memasuki kawasan hutan untuk beriadah mulai jam 8.00 pagi dan mereka ditemui pada 2.15 tengah hari. Mereka diselamatkan oleh pasukan penyelamat yang terdiri daripada Penguatkuasa FRIM, Balai Bomba dan Penyelamat Selayang, Bomba Sukarela Taman Ehsan dan Balai Polis Taman Ehsan.
Dalam satu insiden yang berlaku pada 26 Februari lalu pula, tiga pelawat sesat di kawasan hutan FRIM dan diselamatkan oleh Penguatkuasa FRIM.
“Pihak FRIM sudah memberi peringatan kepada pengunjung serta meletak papan tanda, namun ada segelintir yang masih tidak menghiraukan peraturan FRIM.”
Kumpulan yang sesat pada 3 Mac (kiri) dan 26 Februari. |
“Walau bagaimanapun, kami bersyukur kerana majoriti pelawat dan pejoging memberikan kerjasama dan menyokong usaha FRIM dalam penjagaan kawasan kampus,” kata Abd Latif.
Semua denai alam FRIM telah ditutup kepada pengunjung tanpa jurupandu sejak Jun 2016 demi menjaga keselamatan pelawat serta kelestarian kawasan hutan yang merupakan kawasan penyelidikan. Keputusan dibuat setelah didapati banyak laluan haram dibuka dan kejadian pencerobohan sebegini telah menyebabkan hakisan tanah yang teruk.
Kampus FRIM bersempadan dengan kawasan Hutan Simpan Bukit Lagong yang luas. Kalau sesat dalam kawasan hutan ini, kemungkinan akan mengambil masa beberapa hari untuk diselamatkan, seperti kes yang berlaku pada Disember 2010.
Petikan surat khabar kes pengunjung yang sesat pada Disember 2010. | Papan tanda dipasang di salah satu laluan masuk denai alam |
Hormatilah peraturan FRIM. Dapatkan perkhidmatan jurupandu alam FRIM untuk keselamatan serta mendapat penerangan dan maklumat yang lebih jelas dan tepat tentang FRIM. Untuk tempahan jurupandu atau sebarang pertanyaan, mohon emel kepada: frim_enquiry[at]frim.gov.my atau hubungi 03-6279 7592/ 7648/ 7596.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang peraturan beriadah di FRIM, sila rujuk Panduan Pelawat dalam Bahasa Melayu dan Inggeris di pautan berikut: https://www.frim.gov.my/ms/tarikan/panduan-pelawat/.
Maklumat Terkini