1 Julai 2020 (Rabu) – Ketua Pengarah (KP) Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Datuk Dr Abd Latif Mohmod telah melancarkan operasi Pejabat Pengurusan ‘Forest Skywalk’ di Taman Botani Kepong semalam.
Upacara tersebut turut dihadiri Timbalan KP (Operasi), Dr Khali Aziz Hamzah; Pengarah Bahagian Perhutanan dan Alam Sekitar, Dr Ismail Parlan; Pengarah Bahagian Pentadbiran, Liza Ismail; Ketua Program Ekopelancongan dan Hutan Bandar (EUF), Dr Noor Azlin Yahya; Ketua Cawangan Pengurusan & Impak Rekreasi, Dr Ahmad Nazaruddin Mohd Roseli, Pengurus ‘Forest Skywalk’, Wan Mohd Nafizul Wan Ahmad, dan Ketua Komunikasi Korporat, Toh An Nee.
Noor Azlin (paling kanan) memberi taklimat mengenai ‘Forest Skywalk’. | Dari kiri: Toh, Ismail, Wan Mohd Nafizul, Khali Aziz, Abd Latif, Noor Azlin dan Liza semasa majlis pelancaran. |
Abd Latif mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Program EUF khususnya Noor Azlin dan Wan Mohd Nafizul atas kejayaan menyiapkan projek Pembangunan ‘Forest Skywalk’ setelah melalui pelbagai cabaran.
“‘Forest Skywalk’ ini merupakan satu kebanggaan kepada FRIM. Terima kasih atas usaha dan sumbangan staf Program EUF dalam menjayakan projek ini,” kata beliau.
Abd Latif juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MoTAC) atas sokongan yang diberi kepada projek tersebut.
Pejabat Pengurusan ‘Forest Skywalk’. |
‘Forest Skywalk’ yang bernilai RM3.5 juta ini mendapat pembiayaan MoTAC. Ia mula dibina pada 15 Disember 2018 dan siap sepenuhnya pada 16 Disember 2019 serta diserah kepada FRIM pada 13 Januari 2020.
Titian ini berukuran 18-50 meter tinggi dan 250 meter panjang. Ia dibina menggunakan bahan aluminium sebagai struktur utama dan dikukuhkan dengan ‘guy wire’.
‘Forest Skywalk’ FRIM akan dibuka kepada orang ramai selepas perasmian oleh MoTAC yang akan diumumkan nanti. Mulai 2 hingga 10 Julai, titian tersebut hanya dibuka kepada kakitangan FRIM.