MAKLUMAT TERKINI
KP FRIM tinjau habitat kelip-kelip Kampung Dew
13 Jun 2019 (Khamis) – Ketua Pengarah (KP) Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dato’ Dr Abd Latif Mohmod telah melawat Kampung Dew, Sungai Sepetang, Taiping, Perak baru-baru ini untuk meninjau habitat populasi kelip-kelip di kawasan tersebut serta mengadakan perbincangan dengan komuniti tempatan.
Beliau telah berjumpa dengan beberapa wakil komuniti yang terlibat dalam aktiviti pelancongan kelip-kelip di situ untuk memahami dengan lebih jelas isu berkaitan kelip-kelip yang dihadapi. Pegawai-pegawai penyelidik Cawangan Entomologi FRIM, Veronica Khoo dan Dr Phon Chooi Khim turut berkongsi maklumat kajian serta pengalaman pemuliharaan habitat kelip-kelip yang pernah dilaksanakan.
Abd Latif (tengah, berbaju biru) mengadakan perbincangan dengan komuniti tempatan. | Kelip-kelip spesies Pteroptyx teneryang dijumpai di Kampung Dew. |
“Pemuliharaan habitat adalah kritikal untuk kelestarian populasi kelip-kelip. Ia juga merupakan ikon cahaya negara dan wajib dipelihara, dan FRIM komited untuk memainkan peranan sebagai penggerak usaha pemuliharaan serangga unik ini,” kata Abd Latif.
Beberapa cadangan langkah pemuliharaan telah dikemukakan, iaitu:
- meningkatkan kesedaran komuniti tempatan mengenai kepentingan pemuliharaan alam sekitar;
- mengurangkan pencemaran cahaya di habitat kelip-kelip yang mengganggu perilaku mereka dalam mendapatkan pasangan untuk kelangsungan populasi;
- menanam semula kawasan tepian sungai dengan spesies pokok yang sesuai; dan
- mewartakan zon penampan (buffer zone) sekurang-kurangnya 50 meter di kedua-dua tebing sungai bagi mengelakkan kejadian pencerobohan dan pencemaran.
Dalam maklum balas kepada artikel Berita Harian (BH) pada 22 Februari lalu berkaitan tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu menebang pokok berembang di habitat kelip-kelip Kampung Dew, KP FRIM telah mengeluarkan kenyataan yang diterbitkan pada 27 Februari oleh BH. Dalam kenyataan tersebut, beliau menekankan kepentingan pemeliharaan habitat semula jadi tepian sungai untuk kelangsungan populasi kelip-kelip.
Maklumat Terkini