MAKLUMAT TERKINI
KP lancar Logo Ulang Tahun ke-35 FRIM
7 Julai 2020 (Selasa) – Ketua Pengarah (KP) Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Datuk Dr Abd Latif Mohmod telah menyempurnakan Majlis Perasmian Logo Ulang Tahun ke-35 FRIM yang diadakan sempena Mesyuarat Penyelidikan semalam di Auditorium FRIM, Kepong.
Perasmian logo ini amat signifikan dan bermakna kerana 2020 juga merupakan tahun ke-35 Abd Latif berkhidmat di FRIM serta tahun ke-12 beliau mencurah bakti sebagai KP.
Dari kiri: Mohd Rosli, Gan dan Zahari semasa pembentangan masing-masing. | Mesyuarat dijalankan serentak di (ikut arah jam dari kiri atas): Auditorium, Bilik Garcinia-Morinda, Bilik Licuala dan foyer ‘FRIM Wall of Fame’. |
Abd Latif bersama-sama Dr Khali Aziz Hamzah, Timbalan KP (Operasi) serta Dato’ Dr Marzalina Mansor, Timbalan KP (Penyelidikan) juga melancarkan dua naskah buku penerbitan FRIM terkini yang berjudul, ‘Construction of The Glulam Bridge at FRIM’ dan ‘Ulaman & Herba Masakan di FRIM: Amalan Tradisi & Khasiat Ubatan’.
Mesyuarat kali ini disiarkan secara langsung di Bilik Garcinia-Morinda, Bilik Licuala serta foyer ‘FRIM Wall of Fame’ bagi memastikan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara dalam penjarakan sosial. Kemudahan ‘live streaming’ yang diselaraskan oleh pihak Cawangan Teknologi Maklumat telah melancarkan perjalanan mesyuarat serta membolehkan penyertaan seramai 288 pegawai FRIM.
Terdapat dua pembentangan dalam mesyuarat ini yang dipengerusikan oleh Mahmudin Saleh, Pengarah Perkhidmatan Teknikal, iaitu:
• ‘Ke arah Malaysia Open Science Policy’ (MOSP) oleh Dr Mohd Rosli Haron, Ketua Cawangan Dasar dan Perancangan Penyelidikan; serta
• ‘E-Penulisan’ oleh Dr Gan Kee Seng, Pengarah Perancangan Penyelidikan dan Zahari Othman, Ketua Unit Pembangunan Sistem.
Khali Aziz (kiri) menyampaikan cenderahati merbau kepada Abd Latif. | Logo ulang tahun FRIM ke-35. |
Sesi pembentangan tersebut diikuti dengan tayangan montaj yang disediakan oleh Unit Komunikasi Korporat (CCU) sebelum ucapan KP FRIM.
Majlis berakhir dengan penyampaian cenderahati oleh Mohammad Shahfiz Azman, Pengerusi Tabung Pegawai Penyelidik FRIM bersama-sama dengan Marzalina kepada Abd Latif. Khali Aziz pula menyampaikan cenderahati yang diperbuat daripada kayu merbau kepada KP FRIM sempena Ulang Tahun Pertama Merbau sebagai Pokok Kebangsaan Malaysia. Abd Latif telah memainkan peranan penting dalam merealisasikan impian tersebut.
Maklumat Terkini