MAKLUMAT TERKINI

Menteri KATS adakan lawatan kerja ke FRIM
By Published On: Januari 18, 2019

16 Januari 2019 (Rabu) – YB Dr Xavier Jayakumar, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) buat julung-julung kalinya telah mengadakan lawatan kerja ke Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong pagi tadi.

Beliau diiringi oleh Dato’ Suhaimi Mamat, Timbalan Ketua Setiausaha (Tanah dan Sumber Asli) KATS, Dato’ Wan Mazlan Wan Mahmood (Setiausaha Bahagian Pengurusan Biodiversiti dan Perhutanan) KATS.

1
1
Abd Latif (kiri) berbincang dengan Xavier semasa sesi taklimat.
Dari kiri: Marzalina, Amiruddin, Abd Latif, Xavier, Faizal, Suhaimi dan Mohd Adnan semasa pertukaran dokumen MOU.

Menteri disambut oleh Dato’ Dr Abd Latif Mohmod, Ketua Pengarah (KP) FRIM; Dr Samsudin Musa, Timbalan KP (Penyelidikan) FRIM; Dr Khali Aziz Hamzah, Timbalan KP (Operasi) FRIM dan pengurusan tertinggi FRIM.

KP FRIM memperkenalkan Menteri kepada ahli-ahli pengurusan tertinggi FRIM serta memberi taklimat tentang latar belakang, bidang-bidang penyelidikan dan kepentingan kajiannya kepada negara di Bilik Mesyuarat Licuala.

1
1
Dari kiri: Abd Latif, Xavier dan Khali Aziz mendengar penerangan oleh pakar zoologi FRIM, Shahfiz Azman (paling kanan) berkenaan spesimen yand dipamerkan.
Ahli-ahli Pengurusan Tertinggi FRIM bergambar dengan Xavier (duduk, tengah).

Xavier juga menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara FRIM dengan Indah Water Konsortium (IWK) yang diadakan sempena lawatannya ke FRIM.

Abd Latif mewakili FRIM dalam menandatangani MOU manakala IWK pula diwakili oleh Faizal Othman, Ketua Pegawai Eksekutif. Turut hadir, Dato’ Dr Marzalina Mansor, Pengarah Bioteknologi Perhutanan FRIM; Amiruddin Abdul Aziz, Pengerusi IWK; dan Ir. Mohd Adnan Md Dom, Ketua Jabatan Perancangan dan Kejuruteraan IWK.

Dalam kerjasama yang dicetuskan daripada konsep “waste to wealth” ini, FRIM dan IWK akan mengkaji aplikasi penggunaan sisa kumbahan terawat (biopepejal) untuk penghasilan bahan tanaman berkualiti serta perladangan hutan. Kedua-dua pihak akan mengkaji kelebihan penggunaan biopepejal berbanding bahan penggalak komersial serta mempromosikan penggunaannya melalui aktiviti pengembangan, penerbitan dan sebagainya.

IWK akan menyumbangkan kepakaran dalam bidang pengurusan sisa kumbahan domestik sementara FRIM akan menjalankan kajian berkenaan penghasilan bahan tanaman dan perladangan hutan.

Menteri KATS turut melawat pameran penyelidikan, produk serta perkhidmatan FRIM dan program berakhir dengan upacara penanaman pokok kapur (Dryobalanops aromatica) di Villa Fragrans sebagai acara simbolik bagi memperingati lawatan ini.

Hazlina Ali (paling kanan) menunjukkan fungsi MyWood-ID
1
Hazlina Ali (paling kanan) menunjukkan fungsi MyWood-ID kepada (dari kiri) Dr Wan Tarmeze Wan Ariffin; Dr Ismail Parlan, Pengarah Perhutanan dan Alam Sekitar FRIM; Samsudin; Suhaimi; Dr Mohamad Nasir Mat Arip dan Xavier. Xavier (kiri) dan Abd Latif bergambar dengan pokok kapur yang baru ditanam.

 

 

Maklumat Terkini