MAKLUMAT TERKINI

Makmal FRIM terima ‘Laboratory Excellence Platinum Award’
By Published On: Disember 18, 2015

17 Disember 2015 (Khamis) – Makmal Analisis Awetan Kayu (MAAK) Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah menerima pengiktirafan Anugerah ‘Laboratory Excellence Platinum’ daripada Institut Kimia Malaysia (IKM) pada 4 Disember lalu.

Mohamad Nasir (kiri) menerima anugerah daripada Chang (tengah) yang diiringi Dr Linda Ng Yian Yian, Ahli Kaunsel IKM.

Pegawai Penyelidik FRIM, Dr Mohamad Nasir Mat Arip yang mewakili MAAK menerima anugerah pengiktirafan daripada Timbalan Presiden IKM, Dato’ Dr Chang Eng Thuan di Majlis Penyampaian Anugerah IKM 2015 sempena Majlis Makan Malam IKM 2015 di Kuala Lumpur.

Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah.

Mohamad Izwan Jaimi (kiri) dari Makmal Kimia Tanah FRIM terima anugerah yang disampaikan oleh Chang (kanan).

Ini merupakan tahun ke-20 berturut-turut MAAK diberi pengiktirafan IKM. Sebelum ini, makmal tersebut pernah menerima Anugerah Emas (2010) dan Anugerah Perak (2005).

Pada majlis yang sama, Makmal Pengujian Komposit Kayu dan Makmal Kimia Tanah FRIM turut menerima anugerah tahunan IKM Laboratory Excellence Award 2015.

Mohamad Nasir (kiri) bersama Mohamad Izwan Jaimi dan isteri, Siti Adibah Shuhaimi, menghadiri majlis penyampaian anugerah.

IKM memperkenalkan Anugerah Akreditasi IKM pada 1986 untuk memberikan pengiktirafan kepada makmal-makmal yang telah mencapai kecekapan dalam amalan kerja analisis; pada 1994, ia ditukar kepada Anugerah Kualiti IKM.

Pada 2001, anugerah tersebut ditukar kepada Anugerah Kecemerlangan Makmal IKM yang bertujuan memastikan komitmen makmal ke arah mencapai kecemerlangan dalam menyediakan perkhidmatan berkualiti dan ujian berwibawa berdasarkan undang-undang tempatan terutamanya dalam segi kesihatan, keselamatan dan alam sekitar.

Antara lain, makmal yang mengambil bahagian dikehendaki mengendalikan sistem kualiti yang menepati keperluan yang ditetapkan dalam MS ISO / IEC 17025:2005.

Maklumat Terkini