MAKLUMAT TERKINI

Noor Azlin Dilantik Timbalan KP FRIM Baharu
By Published On: Januari 1, 2021

1 Januari 2021 (Jumaat) – Dr Noor Azlin Yahya telah dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) berkuatkuasa hari ini, menggantikan Dr Khali Aziz Hamzah yang mengambil alih jawatan Ketua Pengarah (KP) mulai 1 September 2020.

Timbalan KP FRIM Baharu
Noor Azlin dilantik sebagai Timbalan KP (Operasi) FRIM berkuatkuasa 1 Januari 2021.

Noor Azlin yang memperolehi ijazah Sarjana Muda Sains dalam Biologi (Perhutanan) dari Doane College, Nebraska, Amerika Syarikat pada Mei 1985 dan Sarjana Sains dalam Pengurusan Sumber dan Polisi dengan pengkhususan dalam Pengurusan Taman Alam dari State University of New York pada Ogos 1987 mula berkhidmat di FRIM sebagai pegawai penyelidik pada 15 September 1990.

Beliau merupakan Ketua Program Ekopelancongan dan Hutan Bandar sebelum pelantikan tersebut. Kepakaran beliau merangkumi penyelidikan dalam bidang perhutanan bandar, rekreasi hutan dan pendidikan alam sekitar.

Beliau memperolehi PhD daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 1999 dalam bidang pengurusan rekreasi hutan dengan pengkhususan dalam impak rekreasi dan persepsi pengunjung. Beliau ialah seorang pakar pendidikan alam sekitar bertaraf antarabangsa dengan pengiktirafan daripada Universiti Afrika Selatan.

Selain itu, Noor Azlin juga merupakan ahli arborist bertauliah (certified arborist) yang mendapat pengiktirafan daripada International Society of Arboriculture, Amerika Syarikat dan Persatuan Arborist Malaysia (PArM).

Beliau merupakan Presiden Pertubuhan Pengurusan Taman, Ameniti dan Rekreasi Malaysia – MyParks penggal 2019-2021 serta Timbalan Presiden ‘Playground Safety Association of Malaysia – PSAM’ bagi 2018-2020.

Beliau juga terlibat secara aktif dalam pelbagai pertubuhan di peringkat antarabangsa seperti World Urban Parks, Food and Agriculture Organization (FAO) dan International Union of Forest Research Organizations (IUFRO).

Maklumat Terkini