MAKLUMAT TERKINI

Norwati dilantik TKP Penyelidikan FRIM baharu
By Published On: Februari 4, 2021

4 Februari 2021 (Khamis) – Dr Norwati Muhammad telah dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (TKP) (Penyelidikan) Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) berkuatkuasa hari ini, menggantikan Dato’ Dr Marzalina Mansor yang bersara semalam.

Norwati memperolehi ijazah Sarjana Muda Sains dalam Biologi pada 1989 dan Sarjana Sains dalam Genetik pada 1994 dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau memperolehi Ijazah Doktor Falsafah dalam Genetik Hutan dari University of Reading, United Kingdom pada 2000 dan mula berkhidmat di FRIM sebagai pegawai penyelidik pada Januari 1990.

TKP (Penyelidikan) baharu FRIM.
Mohd Zaki (atas) dan Farah Fazwa
Norwati, TKP (Penyelidikan) baharu FRIM. Mohd Zaki (atas) dan Farah Fazwa masing-masing mengetuai Bahgian Bioteknologi Perhutanan dan Program Membaik Biak Tumbuhan mulai 4 Februari.

Norwati merupakan Pengarah Bioteknologi Perhutanan sebelum lantikan hari ini. Kepakaran beliau merangkumi penyelidikan bioteknologi tumbuhan dengan pengkhususan dalam genetik hutan. Beliau bertanggungjawab dalam pembangunan penyelidikan genetik FRIM sejak tahun 1990 serta memperkenal dan menjalankan kajian awal forensik perhutanan sebelum dilantik sebagai Ketua Program Bioteknologi pada Jun 2008. Beliau menerajui usaha Makmal Genetik mendapatkan pengiktirafan Status Makmal Rakan Kongsi Bionexus pada 2008.

Di peringkat kebangsaan, Norwati terlibat secara langsung dalam memastikan penyertaan FRIM dalam menyokong polisi Bioteknologi Kebangsaan. Beliau juga terlibat secara aktif dalam bidang biokeselamatan dan merupakan Ahli Jawatankuasa Penasihat Genetik Terubahsuai (GMAC) sejak 2012.

Norwati merupakan ahli panel penasihat kebangsaan myGMO; ahli jawatankuasa bagi kurikulum untuk Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul di Universiti Putra Malaysia; serta ‘national focal point’ bagi ‘International Treaty for Plant Genetic Resources and Agriculture’ dan ‘Forest Genetic Resources, FAO’.

Beliau juga terlibat secara aktif dalam pertubuhan di peringkat antarabangsa seperti IUFRO dan merupakan ahli majlis Persatuan Genetik Malaysia sejak 2002.

Dengan pelantikan beliau sebagai TKP Penyelidikan, FRIM juga mengumumkan pelantikan Dr Mohd Zaki Abdullah sebagai Pengarah Bioteknologi Perhutanan dan Dr Farah Fazwa Md Ariff sebagai Ketua Program Membaik Biak Tumbuhan yang berkuatkuasa hari ini juga.

Maklumat Terkini