MAKLUMAT TERKINI
Pakar tanah terima MBR ke-46 FRIM
14 April 2023 (Jumaat) – Saintis tanah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dr V. Jeyanny Vijayanathan telah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) bagi ‘First Malaysian soil scientist to be selected as panel for Food and Agriculture Organization (FAO) Intergovernmental Technical Panel of Soils (ITPS)’ yang merupakan rekod MBR ke-46 bagi FRIM.
Sijil pengiktirafan MBR berkenaan disampaikan oleh Siti Hajar Johor, Perunding Rekod Kanan MBR di Ibu Pejabat MBR, Kuala Lumpur pagi tadi. Turut hadir, Dr Ismail Parlan, Ketua Pengarah FRIM; Ketua Komunikasi Korporat FRIM, Toh An Nee serta Pegawai Penyelidik, Praveena Balai Kerishnan.
Jeyanny dilantik sebagai ahli ITPS oleh FAO pada 2 Jun 2022. Beliau merupakan salah seorang daripada 27 ahli IPTS yang dipilih daripada sejumlah 95 calon dari seluruh dunia.
ITPS berfungsi untuk memberikan nasihat saintifik dan teknikal mengenai isu tanah global kepada Global Soil Partnership serta institusi lain. ITPS juga mempromosikan pengurusan tanah lestari dalam pelbagai agenda pembangunan.
Pelantikan ini penting kepada Malaysia dan FRIM sebagai platform untuk memberi sumbangan saintifik dan teknikal mengenai isu tanah global.
Pelantikan ini juga membolehkan Malaysia menyumbang kepada harmonisasi data dan laporan secara kolektif mengenai isu-isu pengurusan tanah lestari, keselamatan makanan, perubahan iklim, karbon organik tanah dan lain-lain.
Jeyanny juga akan berpeluang memperluaskan jaringan kerjasama antara Malaysia dan FRIM dengan organisasi antarabangsa seperti International Union of Soil Sciences, Science-Policy Interface of the United Nations Convention to Combat Desertification, ‘4 per 1000’ Initiative, Intergovernmental Panel on Climate Change, IUCN Red List of Threatened Species, Convention on Biological Diversity dan Global Soil Biodiversity Initiative.
Pelantikan ini disokong sepenuhnya oleh FRIM dan Jabatan Pertanian Malaysia. Jeyanny juga terlibat secara aktif dalam kumpulan kerja dan dilantik sebagai ahli Lembaga Editorial bagi Status of the World Soil Resources Report 2025. Beliau turut dipilih sebagai moderator bagi ‘Global Symposium on Soils for Nutrition’ yang diadakan pada Julai 2022.
Dari kiri: Praveena, Jeyanny, Ismail, Siti Hajar dan Toh semasa penyampaian sijil MBR. | Jeyanny bergambar dengan sijil MBR yang diterima. |
Jeyanny dan Ismail melihat sijil MBR dengn lebih dekat. |
Maklumat Terkini