MAKLUMAT TERKINI
Penyelidik FRIM menang pingat emas di MTE 2014
24 Februari 2014 (Isnin) – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) berjaya meraih satu pingat Emas dan dua pingat Perak di Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) ke-13 yang berlangsung dari 20 hingga 22 Februari 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dari kiri: Yanti, Bakar, Hamid dan Rushdan dengan pingat emas dan sijil.
Majlis Perasmian MTE 2014 yang diadakan pada 20 Februari telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah, yang juga menyampaikan hadiah kepada pemenang Anugerah Rekacipta dan Inovasi 2014 pada 21 Februari.
MTE yang dianjurkan bersama oleh Persatuan Saintis Penyelidikan Malaysia (MARS) dan Protemp Exhibitions Sdn Bhd merupakan platform perjumpaan perniagaan tahunan untuk teknokrat, pencipta, pemberi lesen, pengedar dan pengeluar untuk berkongsi pengetahuan dan menjalin hubungan perniagaan strategik.
MTE 2014 berjaya mengumpulkan lebih 700 hasil inovasi dan ciptaan tempatan dan antarabangsa termasuk produk, reka bentuk serta idea yang berpontensi untuk dikomersialkan.
Kumpulan penyelidik FRIM yang memenangi pingat Emas Anugerah Rekacipta dan Inovasi ini diketuai oleh Dr Rushdan Ibrahim dan terdiri daripada Dr Sharmiza Adnan, Nurul Husna Mohd Hassan, Ainun Zuriyati Mohamed dan Mahmudin Salleh.
Mereka telah mempamerkan inovasi yang dihasilkan melalui projek bertajuk, “Mathematical Models for Alkaline Pulp and Paper Properties of Oil Palm Empty Fruit Bunch Fibre”. Model-model matematik yang telah dibangunkan ini boleh dijadikan sebagai garis panduan dalam penghasilan semua jenis pulpa alkali dan kertas yang diperbuat daripada tandan kosong kelapa sawit (EFB).
Malaysia menjana kira-kira 20 juta tan sisa EFB buangan industri kelapa sawit yang mengandungi serat lignoselulosa untuk penghasilan pulpa dan kertas.

Pingat emas dan sijil diterima oleh FRIM.
Dua inovasi lain yang memperolehi pingat Perak pula merupakan hasil projek penyelidikan FRIM yang diketuai Dr Abdul Hamid Saleh, iaitu, “The Production of Moulded Rotary Veneer Bamboo (RoVBAM) Chair” dan “RoVBAM Plyboard for Panel Furniture and Interior Products”.
Penyelidik lain yang terlibat dalam projek ini termasuk Yanti Abdul Kadir, Tuan Anis Nadia Tuan Mohd Saipudin, Dr Hamdan Husain, Dato’ Dr Marzalina Mansor, Khairul Masseat, Siti Zalifah Mahmud, Siti Rafedah Abd Karim, Mohd Sopian Mokhtar, Othman Mohd Desa dan Ab Jalil Muhammad.
RoVBAM merupakan teknologi pertama dalam penghasilan venir buluh di Malaysia dengan menggunakan teknik pengelupasan putar. Buluh ialah bahan mesra alam dan venir buluh boleh digunakan sebagai produk nilai tambah khususnya dalam pembuatan produk panel.
Sisa lebihan kepingan venir juga boleh digunakan untuk menghasilkan barang-barang kecil seperti produk atau cenderahati untuk mengurangkan pembuangan sisa dan memaksimumkan penggunnaan satu jelaga buluh.
Acuan kerusi RoVBAM diubahsuai dengan penggunaan venir buluh yang mempunyai penampilan menarik dan elegan; di mana venir buluh didapati akan mengekalkan ciri-ciri semula jadi nod buluhnya jika dibandingkan dengan venir kayu lain.
Kerusi ini boleh direka dalam pelbagai bentuk bergantung kepada kreativiti pereka. Acuan reka bentuk kerusi akan dibuat dan kemudian ditekan melalui proses pemanasan.
Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi Dr Rushdan mengenai model matematik tersebut melalui e-mel: rushdan@frim.gov.my; dan Dr Hamid (hamid@frim.gov.my) atau Yanti (yanti@frim.gov.my) mengenai RoVBAM.
Maklumat Terkini