MAKLUMAT TERKINI
Penyelidik FRIM terima Anugerah Kertas Terbaik
18 April 2016 (Isnin) – Pegawai Penyelidik Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Gs. Dr Hamdan Omar telah memenangi Anugerah Kertas Terbaik di persidangan antarabangsa yang berlangsung baru-baru ini.

Sijil anugerah yang diterima oleh Hamdan di persidangan tersebut.
Hamdan telah menerima sijil anugerah itu daripada Presiden Institution of Geospatial and Remote Sensing Malaysia (IGRSM), Prof. Madya Dr Abdul Rashi Mohamed Shariff di majlis penutupan 8th IGRSM International Conference and Exhibition on Geospatial and Remote Sensing pada 14 April.
Kertas beliau bertajuk, “Quantifying Rate of Deforestation and CO2 Emission in Peninsular Malaysia using Palsar Imageries“ telah dipilih sebagai kertas terbaik daripada sejumlah 100 pembentangan (75 lisan dan 25 poster) di persidangan tersebut.
Lebih daripada 300 peserta tempatan dan antarabangsa menghadiri persidangan selama dua hari yang bertemakan, “Geospatial on the go”. Majlis perasmian persidangan pada 13 April disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Panglima Madius Tangau.
Objektif persidangan yang diadakan dua tahun sekali ini adalah untuk menghimpunkan para profesional dan pakar dalam bidang geoinformasi di peringkat global untuk berkongsi pengetahuan, kepakaran dan pengalaman mereka; serta menggalakkan pembinaan hubungan antara pihak profesional tempatan dan antarabangsa dalam bidang ini dengan industri.

Hamdan ketika menyampaikan pembentangan beliau di persidangan tersebut.
IGRSM yang sebelum ini dikenali sebagai Malaysian Remote Sensing Society (MRSS) ditubuhkan pada Julai 1995. Tujuannya adalah untuk menyokong dan membantu pembangunan teknologi geospatial dan penderiaan jauh di Malaysia.
Sejak penubuhannya, IGRSM telah melaksanakan aktiviti-aktiviti ke arah menggalakkan penggunaan teknologi tersebut; mengukuhkan interaksi antara pihak kerajaaan dan swasta; menggalakkan penerbitan lebih banyak hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D); serta memastikan ahli-ahlinya dimaklumkan mengenai aktiviti-aktiviti geospatial dan penderiaan jauh terkini dari dalam dan luar negara.
IGRSM juga memberi pengiktirafan gelaran ‘Geospatialist’ (Gs.) kepada ahli-ahli profesional yang berdaftar dengannya (sekurang-kurangnya selama dua tahun). Terdapat 60 ahli IGRSM yang telah diberi pengiktirafan Gs. termasuk tiga pegawai FRIM iaitu Hamdan, Mohd Azahari Faidi dan Muhamad Afizzul Misman dari Program Geoinformasi FRIM.
Maklumat Terkini