MAKLUMAT TERKINI

Peserta bengkel AUFN lawat FRIM
By Published On: Januari 18, 2023

18 Januari 2023 (Rabu) – Seramai 16 peserta Bengkel Pertama ‘Asian Urban Forests Network (AUFN) for People and Environment’ telah melawat Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong pada 11 Januari lalu sebagai sebahagian daripada program tersebut.

Mereka dibawa melawat Jejantas Rimba (Forest Skywalk) di Taman Botani Kepong, Galeri Penyelidikan FRIM dan denai alam untuk melihat fenomena ‘malu-malu silara’ (crown shyness) oleh jurupandu alam FRIM.

Bengkel anjuran bersama Institut Sains Hutan Negara (NIFoS), Persatuan Institusi-Institusi Perhutanan Asia Pasifik (APAFRI) dan Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA) yang diadakan di Kuala Lumpur ini dirasmikan oleh Pengarah Hutan Bandar NIFoS, Dr Im Kyun Lee pada 10 Januari. Turut hadir, Ketua Pengarah FRIM, Dr Ismail Parlan yang juga merupakan Pengerusi APAFRI.

Terdapat pelbagai topik pembentangan menarik yang disampaikan pakar-pakar daripada tujuh negara di bengkel ini. Penyelidik FRIM, Dr Ahmad Nazarudin Mohd Roseli membentangkan topik, ‘Phenological Observation of an Urban Tree, Xanthostemon chrysanthus (F. Muell.) Benth’.

Bengkel yang dihadiri para penyelidik dari Korea, Malaysia, Indonesia, Jepun, Filipina, Thailand dan Vietnam ini bertujuan membincang status terkini hutan bandar dan pokok tepi jalan dalam persekitaran yang pelbagai di bandar-bandar Asia.

Ismail (kiri) menyampaikan ucapan dan Ahmad Nazarudin semasa pembentangan. Gambar berkumpulan peserta dan penganjur bengkel AUFN.
Peserta semasa lawatan denai alam FRIM. Jurupandu alam, Mohamad Effy Hafizi Mat Zen (paling kanan) berkongsi fakta menarik di denai alam. Nature.

Maklumat Terkini