WARNA-WARNA FRIM

Azadirachta excelsa: Berguguran daun menanti bunga
No photos found matching your search criteria.

Sentang atau Azadirachta excelsa ialah sejenis pokok besar sehingga 50 m tinggi, diameter batangnya boleh mencecah 125 cm dan tanpa banir. Sentang merupakan ahli famili Meliaceae dan didapati secara semula jadi di Borneo (Sabah, Sarawak dan Kalimantan), Sulawesi, Papua New Guinea dan Filipina (Mindoro dan Palawan). Batang pokok sentang yang lurus dan pokoknya yang cepat membesar menjadikannya antara spesies yang sesuai untuk ditanam secara ladang. Rekod pokok sentang yang tertua ditanam di FRIM adalah pada tahun 1953. Di Semenanjung Malaysia, pucuk, daun dan bunganya dijadikan sayuran. Daun yang tua pahit rasanya. Bunganya yang putih kehijauan dan wangi merupakan sumber debunga dan madu dalam pemeliharaan lebah.

Buahnya boleh dimakan, namun rasanya tidak enak. Seperti pokok dalam genus yang sama iaitu Azadirachta indica atau pokok neem, biji benih sentang mempunyai ciri-ciri antiserangga, dan minyak daripada bijinya boleh dibuat sabun. Di kawasan tropika yang lembap pokok sentang biasanya malar hijau namun pokok ini boleh mempunyai musim gugur yang ketara sehingga tiga bulan dalam setahun. Daun-daun sentang dilihat berguguran di hadapan perpustakaan (Bangunan D2), dipercayai sebagai persediaan untuk tumbuhnya pucuk baharu dan pembungaan yang biasanya terjadi dalam masa sebulan.

Artikel oleh Norhayati N, disiarkan kali pertama pada 21 Januari 2013. Cuaca mingguan berawan dengan suhu sekitar 29°C hingga 32°C. Dikemas kini pada 8 Januari 2014, cuaca berawan dengan suhu sekitar 23°C hingga 34°C.